SEORANG lelaki melarikan sebuah kereta tanpa menyedari di dalamnya terdapat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dalam satu kejadian berhampiran sebuah sekolah menengah di Seksyen 25 Shah Alam, semalam,.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam sebelum pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
‘’Dalam insiden itu, mangsa berada dalam kereta jenis Perodua Viva. Siasatan mendapati mangsa telah meminta kunci kereta daripada bapanya bagi menghidupkan enjin kerana ingin duduk di dalam kereta.
“Mangsa telah duduk di bahagian tempat duduk belakang dan bermain telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata, suspek kemudian telah memasuki kereta itu dan hanya menyedari terdapat mangsa apabila remaja itu menjerit.
‘’’Suspek tidak bertindak kasar hanya mengarahkan mangsa untuk diam,’’ katanya.
Beliau berkata, hasil maklumat awam, mangsa dan kenderaan terlibat dijumpai selamat di tepi jalan berhampiran sebuah restoran kira-kira empat kilometer (km) dari lokasi kejadian.
“Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan namun masih trauma atas kejadian yang berlaku.
‘’Kenderaan yang dijumpai telah diperiksa oleh Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ramsay berkata, gerakan sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak di bawah umur daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394,” katanya. –


