TINDAKAN pantas polis telah membolehkan penangkapan dilakukan ke atas seorang lelaki yang disyaki melibas dan mencederakan seorang perempuan di Tangga Batu, Melaka Selasa lalu.
Hari ini Mahkamah Majistret Melaka membenarkan permohonan pegawai penyiasat untuk menahan reman lelaki tersebut selama tujuh hari dan perintah itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bermula hari ini hingga 27 Oktober
Lelaki berusia 25 tahun itu terdahulu dibawa dengan berpakaian lokap ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh , sekitar jam 9 pagi sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret 2.
Sebelum itu suspek ditahan di sebuah rumah berhampiran tempat kejadian oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sekitar jam 10.30 malam tadi.
Dalam kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa berusia 18 tahun itu bersama kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 9, Tangga Batu, Tanjung Kling.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang menyerangnya malah memaklumkan tidak mempunyai musuh atau sebarang perselisihan faham dengan mana-mana individu.
“Ya kita dah tangkap suspek,” katanya.
Kata beliau, mangsa yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka turut memaklumkan baru tiga minggu berpindah dari Tangkak, Johor ke Melaka dan bekerja sebagai operator kilang.
| UNDILAH | 
[forminator_poll id=”4900″]



