SEBUAH mahkamah di Singapura menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 15 sebatan terhadap seorang lelaki warga Malaysia berusia 38 tahun kerana menyamar sebagai “sugar daddy” berkulit putih (Caucasian) di dalam talian dan memaksa wanita-wanita melakukan hubungan seks.
Tertuduh, GN Rajwant Singh, telah disabitkan kesalahan atas empat pertuduhan menipu untuk seks dan pemerasan pada bulan November.
Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa berdasarkan dokumen mahkamah, Rajwant telah memaksa tiga wanita untuk melakukan hubungan seks dengannya dengan menyamar sebagai beberapa individu berbeza.
Rajwant, yang menuntut dibicarakan, dikatakan telah memperdaya wanita-wanita warga Singapura untuk datang ke Malaysia sebelum menipu mereka supaya melakukan perbuatan seksual dengannya.
Dia menyamar sebagai seorang lelaki Caucasian bernama Mike di platform temu janji, berpura-pura sebagai individu yang berjaya dan “tinggal di atas kapal layar”, sambil menawarkan wang kepada mangsa sebagai balasan untuk seks dan menemani mereka.
Mangsa kemudiannya ditekan supaya menghantar gambar atau video lucah diri mereka sebelum Rajwant menjemput mereka datang ke Pulau Pinang.
Apabila mereka tiba di Malaysia, dia akan berpura-pura menjadi pemandu kepada “Mike” dan cuba berkawan dengan mereka dengan mendakwa bahawa dia juga sedang diugut oleh “Mike”.
Taktik ini dikatakan membolehkannya menentukan sama ada untuk mengugut mangsa atau merayu simpati mereka bagi mendapatkan wang.
Dia juga mengugut untuk menyebarkan video lucah sesetengah mangsa sekiranya mereka tidak memindahkan wang kepadanya atau memuaskan nafsunya dengan cara lain.
Rajwant telah memeras lebih S$183,000 (lebih RM576,000) daripada salah seorang mangsa bagi memaksa wanita itu melakukan hubungan seks dengannya dan untuk menghalangnya daripada menyebarkan video lucah yang telah dihantar kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut antara tahun 2018 hingga 2020, ketika dia tidak bekerja dan tinggal bersama isteri serta anak-anaknya di Malaysia.
Dalam kes berasingan, dia telah dijatuhi hukuman penjara selama empat setengah tahun pada tahun 2025 dan diperintahkan membayar pampasan sebanyak S$7,000 (RM22,069) selepas mengaku bersalah atas kesalahan menipu yang melibatkan seorang wanita.


