SEORANG lelaki warga Palestin yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu ditemukan semula dalam keadaan selamat di sekitar pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur awal pagi ini.
Al Baraa Monir Sobhi Alqedra, 22, merupakan orang kurang upaya (OKU) yang menghidap cerebral palsy (lumpuh otak) sejak kecil.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesahkan Orang Hilang (OH) itu ditemukan pada jam 4 pagi ini.
“Untuk makluman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengesahkan pada jam lebih kurang 4 pagi hari ini telah berjaya menemui semula Orang Hilang (OH) di sekitar Pekan Sungai Besi.
“Orang Hilang (OH) didapati selamat dan tidak cedera,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Polis dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang usaha pencarian dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga Palestin dilaporkan hilang selepas kali terakhir berada di Rumah Pangsapuri Bukit Mewah, Taman Bukit di Kajang sejak 23 Mac lalu.
Naazron dilaporkan berkata, laporan kehilangan Al Baraa Monir Sobhi Alqedra diterima pada 5.56 petang, 24 Mac lalu.


