Lelaki pandu kereta melulu rempuh dua motosikal di ibu negara didakwa

SEORANG pekerja sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memandu kereta secara melulu sehingga membahayakan dua penunggang motosikal di ibu negara awal pagi semalam.

T S Kugenthiran, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmin Tuan Roslan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu Honda City secara melulu sehingga melanggar dua motosikal ditunggang Muhammad Afiq Zayani Azliyuszaini, 24, dan Muhammad Hairy Abdul Rahman, 19.

Kejadian didakwa berlaku di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dari arah pusat bandar raya menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman pada jam 4.30 pagi semalam.

Kugenthiran didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun serta denda maksimum RM15,000 selain hilang kelayakan lesen memandu maksimum dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nadzli Rizal.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguamnya memohon jaminan dikurangkan.

Menurut Ahmad Nadzli, tertuduh bekerja secara sambilan di Genting Highlands sementara menunggu kemasukan bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Penjamin tertuduh adalah bapa kandungnya berusia 51 tahun yang berpendapatan RM4,000 sebulan dan menanggung isterinya yang juga suri rumah serta adik-beradik tertuduh.

“Justeru, saya mohon tawaran jaminan tertuduh dikenakan pada jumlah minimum memandangkan dia tidak mempunyai risiko melarikan diri selain memberikan kerjasama baik dengan pihak polis,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun depan bagi proses serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal di Jalan Sultan Ismail selepas dipercayai berpunca daripada kegagalannya mematuhi lampu isyarat merah, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, pemandu terbabit ditahan di sebuah klinik di Kundang, Rawang semasa mendapatkan rawatan jam 1 petang semalam.

Siasatan awal mendapati dua motosikal ditunggang lelaki berusia 24 dan 19 tahun sedang melintasi persimpangan dengan lampu isyarat hijau sebelum dirempuh sebuah kereta dari arah kanan dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat merah.

Menurutnya, dua penunggang terbabit mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan mangsa berusia 24 tahun putus kaki kiri, manakala seorang lagi patah tangan serta kaki kiri akibat kemalangan itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img