SEORANG lelaki menetak abang iparnya hingga putus kepal dalam pergaduhan yang terjadi di kawasan Sawah di sebuah kampung di Jerlun.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat pergaduhan berlaku di Kampung Pida 3 pada pukul 7.05 malam.
‘’Mayat lelaki itu ditemui terlentang dalam sawah padi yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah suspek dan suspek berjaya ditahan kira-kira jam 8 malam selepas polis berjaya memujuk suspek yang ketika itu masih memegang parang.
“Parang berukuran 30 sentimeter (sm) panjang dirampas untuk membantu siasatan,” katanya kepada wartawan di tempat kejadian malam tadi.
Beliau berkata, keadaan mangsa ketika itu terlentang dengan kepalanya putus dan terletak satu meter dari badan selain beberapa kesan tetakan ditemui di bahagian badan mangsa.
“Umur mangsa 45 tahun manakala suspek pula berusia 38 tahun. Selepas kejadian, suspek berada di dalam bilik di rumahnya sebelum dipujuk keluar kira-kira 15 minit kemudian,’’ katanya.
Mohd Radzi berkata, hasil siasatan juga mendapati, suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Beliau berkata, kedua-duanya bekerja sebagai pesawah dan setakat ini polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian dan motif kejadian.
“Mangsa mempunyai isteri dan dua anak manakala suspek masih bujang. Mereka tinggal berhampiran. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan akan direman di Mahkamah Alor Setar ,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini punca masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
UNDILAH |



