SEORANG lelaki yang menukar jantina menjadi individu pertama didakwa di Mahkamah Syariah di Kelantan baru-baru ini mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, sejak undang-undang itu diwartakan tahun 2020.
Sumber Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) berkata, penahanan individu itu dibuat dalam satu operasi ke atas acara melibatkan sekumpulan transgender.
“Susulan itu satu pendakwaan dibuat ke atas suspek di Mahkamah Syariah Kelantan, baru-baru ini atas dakwaan melakukan pengubahan jantina,” kata sumber itu ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut sumber, kes tersebut masih peringkat pengurusan selepas tertuduh mengaku tidak bersalah atas pendakwaan.
Katanya, individu tersebut dipercayai mengubah jantina tersebut pada pertengahan tahun lalu.
Sumber memberitahu, pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, berkaitan kesalahan mengubah jantina sendiri atau orang lain.
“Jika sabit kesalahan ia boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sementara itu Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan perincian kes berkenaan secara terbuka.
“Saya tiada maklumat lengkap dan ada isu tidak boleh dibuat pendedahan terbuka. Dalam hal ini saya kena jaga semua pihak yang sedang diambil tindakan,” katanya.


