POLIS menahan seorang lelaki yang sebelum ini dikesan dalam video tular memegang parang serta menunjukkan isyarat jari tengah, selepas dipercayai terlibat dalam kes curi bateri kereta dan motosikal mainan.
Suspek lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan sekitar jam 7.30 malam di simpang empat lampu isyarat Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee, Ipoh susulan satu laporan curi yang diterima pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa seorang suri rumah berusia 35 tahun membuat laporan selepas mendapati beberapa barangan miliknya hilang di hadapan rumahnya di Hala Kuala Kangsar.
“Hasil siasatan mendapati kejadian curi tersebut berlaku pada 25 Januari lalu apabila seorang individu menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna coklat berhenti di hadapan rumah pengadu sebelum mengambil bateri kereta dan dua motosikal mainan kanak-kanak.
“Wanita itu hanya menyedari kehilangan barangan pada 3 Februari lalu selepas membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Sinar Harian.
Abang Zainal Abidin berkata, semakan lanjut mendapati individu yang terlibat dalam kes curi ini adalah suspek sama yang dikesan dalam video tular memegang parang dan melakukan isyarat tidak sopan terhadap orang awam.
Beliau memberitahu, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan lima kes jenayah dan tiga kes dadah.
“Susulan tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic EJ6 1.6cc, selain satu set anak kunci beserta alat kawalan jauh,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan atau perkataan yang dimaksudkan untuk mengaibkan kehormatan seseorang.
“Siasatan kes curi pula dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, membabitkan anggaran kerugian kira-kira RM500,” katanya.
Semalam polis memaklumkan telah mengenal pasti individu yang memegang parang dalam video berdurasi kira-kira 25 saat itu yang dirakam pada 15 Januari lalu sebelum dimuat naik dan tular di media sosial.
Beliau berkata, walaupun parang tersebut tidak digunakan sebagai senjata untuk melakukan ancaman secara langsung, perbuatan itu telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang awam yang menonton video tersebut.


