KETERUJAAN 13 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi beriadah di Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun hari ini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas.
Mayat mangsa, Amirul Danish Zamri, 19, yang merupakan penuntut tahun satu, Diploma Kejuruteraan Mekanikal ditemui pasukan mencari dan penyelamat pada pukul 12.40 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa dilapor tenggelam ketika mandi bersama 12 rakannya kira-kira pukul 10.50 pagi.
Katanya, rakan-rakan mangsa cuba untuk menyelamat, namun tidak berjaya sebelum tenggelam ke dasar tasik.
“Pasukan penyelamat menemui jasad mangsa pada kedalaman tujuh meter, kira-kira empat meter dari lokasi dilapor mandi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai enam anggota polis dan 11 anggota bomba termasuk unit selam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Berang terlibat dalam operasi.


