Lembaga Disiplin Bersatu panggil Hamzah beri keterangan Khamis ini

TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipanggil Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu Khamis ini berhubung dakwaan menyokong tindakan memperlekehkan kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Larut itu diminta hadir di ibu pejabat parti di Petaling Jaya pada 12 Februari depan untuk memberi keterangan susulan beberapa aduan bertulis yang diterima Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu sebelum ini.

Menurut sumber, Hamzah dipanggil menerusi satu surat bertarikh 6 Februari yang dikeluarkan Lembaga Disiplin dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan.

Kata sumber itu, Lembaga Disiplin telah menerima empat aduan disiplin secara bertulis bertarikh 30 September 2025 dan 5 Februari 2026 serta telah mengeluarkan notis panggilan pertama kepada Hamzah pada 5 Oktober 2025 untuk satu sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin.

“Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin telah bersidang dan memandang serius berkenaan aduan-aduan disiplin yang telah diterima.

“Berikutan itu, notis panggilan kedua dikeluarkan pada 6 Februari supaya Hamzah hadir memberi keterangan berhubung aduan disiplin yang dikemukakan terhadap beliau,” kata sumber itu hari ini.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, Hamzah didakwa terlibat dengan komplot untuk membuat kacau dan sabotaj perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025.

Katanya, Hamzah juga didakwa tidak menghalang Datuk Wan Saiful Wan Jan, Mohamad Syukor Mustafa, Muhammad Fadhli Ismail, Azrudin Md Idris, dan Mohd Faizal Asmar daripada merancang dan berkomplot untuk melakukan kacau ganggu dan mensabotaj perjalanan PAT 2025.

Tambah sumber itu, Hamzah juga gagal menghalang Mohd Isa Mohd Saidi daripada membuat kenyataan tentang 120 ketua bahagian Bersatu gesa Muhyiddin berundur yang memalukan Presiden serta mencemarkan nama baik parti.

“Dalam aduan disiplin terbaharu pada 5 Februari, Hamzah turut didakwa mengumpul surat Akuan Bersumpah (SD) dengan memanipulasi ketetapan Retreat Gopeng dan merancang untuk mensabotaj PAT 2025.

“Selain itu, Hamzah juga didakwa menggagalkan usul perbahasan untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari Bersatu dan mengekalkan Presiden parti,” jelas sumber itu.

Media semalam melaporkan, enam pemimpin Bersatu iaitu empat ketua bahagian dan dua pemimpin dari Sabah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin susulan aduan mengenai tingkah laku yang dianggap menjejaskan perpaduan dan disiplin parti.

Lembaga itu mengeluarkan empat notis berasingan bertarikh 7 Februari terhadap Ahmad Nasir Mid (Selayang), Abdul Aziz Ismail (Dungun), Zulkifli Bujang (Johor Bahru), dan Ramlan Meon (Tangga Batu), di mana masing-masing dikaitkan dengan insiden berasingan pada 2025.

Dua pemimpin Sabah iaitu Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin dan Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar turut dipanggil berdepan Lembaga Disiplin kerana mengkritik Muhyiddin dalam satu sidang akhbar susulan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 November tahun lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img