PASUKAN mencari dan menyelamat menemukan lima lagi mayat pada hari keempat tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan maritim Malaysia–Thailand.
Penemuan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan korban kini meningkat kepada 34 orang.
Daripada jumlah itu, 25 mayat ditemui di perairan Malaysia, manakala sembilan lagi dikesan di perairan Thailand.
Setakat ini, 14 mangsa dilaporkan terselamat dan kesemuanya ditemui di perairan Malaysia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penemuan mayat terbaharu itu melibatkan lima lelaki dewasa hasil operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penyelamat hari ini.
“Sekitar jam 10.10 pagi, Pasukan Polis Marin menemukan satu mayat lelaki terapung berhampiran Pulau Singa Besar. Mayat itu dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melaporkan penemuan satu lagi mayat lelaki dewasa di Selat Chincin berhampiran Pulau Anak Datai,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, satu lagi mayat ditemukan pada jam 3.16 petang berhampiran Pulau Rebak Besar, manakala mayat keempat dikesan berhampiran Tanjung Hulor beberapa minit kemudian.
“Mayat kelima pula ditemukan oleh helikopter JBPM berhampiran Pulau Rebak Besar sebelum dibawa naik menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” ujar beliau.
Operasi SAR hari ini turut disertai lebih 200 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, JBPM serta APM.
Sebanyak 14 aset udara dan laut digerakkan dengan kawasan pencarian diperluas kepada 329.67 batu nautika persegi, dibahagikan kepada 14 sektor utama bagi meningkatkan keberkesanan pencarian.
Cuaca dilaporkan baik sepanjang operasi dengan keadaan laut sederhana dan hujan renyai pada waktu tertentu.



