‘’Liong Sik pembina negara, penyatu masyarakat’’ – Ka Siong

PRESIDEN MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan, mendiang Tun Dr. Ling Liong Sik bukan sekadar seorang pemimpin tetapi juga pembina negara, penyatu masyarakat, dan seorang yang berwawasan.

Melalui Facebook beliau, Ka Siong berkata legasi mendiang  akan terus hidup melalui institusi yang dibinanya, dasar yang digubalnya, dan kehidupan yang dilaluinya.

Berikut catatan  Ka Siong mengenai mendiang Liong Sik yang meninggal dunia pada usia 83 tahun di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Dilahirkan pada tahun 1943 di Kuala Kangsar, Perak, kehidupan Tun Dr. Ling dibentuk dengan nilai ketabahan, kecerdasan, dan rasa tanggungjawab yang tidak berbelah bahagi.

Mendiang Tun Ling Liong Sik ketika mesyuarat Barisan Nasional yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Turut hadir Datuk Seri Anwar Ibrahim – Gambar FB Wee Ka Siong.

 Dibesarkan seorang ibu selepas kehilangan bapanya, beliau membawa bersama nilai kasih sayang dan penghormatan kepada keluarga yang kemudian mencorakkan komitmen sepanjang hayatnya terhadap perkhidmatan awam.

Terlatih sebagai seorang doktor perubatan, beliau membuat keputusan yang besar ertinya, iaitu dengan meninggalkan profesion mulia tersebut demi berkhidmat di pentas yang lebih luas. 

Seperti yang pernah beliau ungkapkan, jika perubatan menyembuhkan satu nyawa pada satu masa, perkhidmatan awam pula berupaya mengangkat kehidupan jutaan rakyat. Keyakinan inilah yang mendorong beliau menceburi bidang politik, satu perjalanan yang meninggalkan kesan mendalam kepada negara kita. 

Kerjaya politik Tun Dr. Ling dicorakkan oleh keberanian, kejelasan pemikiran, dan kepimpinan yang luar biasa. Meningkat dengan pantas dalam MCA, beliau menjadi Presiden ke-6 parti pada waktu ketidaktentuan ekonomi dan politik. 

Dengan keazaman yang kuat, beliau memimpin parti serta masyarakat berdepan krisis, menyelesaikan pelbagai cabaran, serta memulihkan perpaduan dan keyakinan. Kepimpinan beliau bukan sahaja mengukuhkan MCA, malah memperkukuhkan kedudukan masyarakat Cina dalam kerangka nasional yang lebih luas.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Mata Kuching selama tiga penggal bermula 1974 sehingga 1986 sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Labis selama empat penggal bermula tahun 1986 hingga 2004.

Mendiang Tun Dr. Ling Lion Sik bersama orang ramai.- Gambar FB Wee Ka Siong.

Tun Dr. Ling pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Penerangan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pendidikan sebelum dilantik ke dalam Kabinet sebagai Menteri Pengangkutan pada tahun 1986.

Sebagai Menteri Pengangkutan selama 17 tahun, beliau memainkan peranan penting dalam memodenkan infrastruktur Malaysia dengan menyelia pembangunan projek-projek utama yang meningkatkan sistem penerbangan, pelabuhan dan rel negara ke tahap antarabangsa. Sumbangan beliau membantu meletakkan asas kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berhubung secara global.

Namun, di sebalik politik dan pembangunan infrastruktur, legasi dan transformatif Tun Dr. Ling terletak dalam bidang pendidikan.

Beliau percaya bahawa pendidikan adalah jalan ke arah pemeliharaan maruah, kemajuan dan peluang. 

Di bawah kepimpinannya, pembangunan pendidikan menjadi teras utama misi MCA. Beliau memperluas dan memperkukuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman, yang kini dikenali sebagai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), dengan menjadikannya sebuah institusi bertaraf nasional yang membuka peluang kepada puluhan ribu pelajar setiap tahun.

Lebih penting lagi, beliau merealisasikan impian masyarakat iaitu penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Setelah bertahun-tahun berusaha gigih, rundingan dan visi yang jelas, pembinaan UTAR diluluskan pada tahun 2001 dan dilancarkan pada tahun 2002, yang merupakan detik bersejarah dalam landskap pendidikan Malaysia. 

Apa yang bermula sebagai satu aspirasi kini menjadi institusi unggul yang terus membentuk generasi rakyat Malaysia.

Visi pendidikan Tun Dr. Ling melangkaui institusi. Daripada program memperkasa pendidikan luar bandar hingga sokongan kepada sekolah Cina, mempromosikan pendidikan teknikal hingga memperjuangkan akses dan kesaksamaan, usaha beliau telah mengubah kehidupan yang tidak terkira jumlahnya serta memperkukuh asas modal insan negara.

Walaupun selepas bersara daripada politik, dedikasinya tidak pernah luntur. Beliau terus menumpukan usaha dalam memajukan pendidikan, memastikan visinya kekal berterusan melangkaui tempoh perkhidmatannya.

Tun Dr. Ling Liong Sik bukan sekadar seorang pemimpin, beliau pembina negara, penyatu masyarakat, dan seorang yang berwawasan – legasinya akan terus hidup melalui institusi yang dibinanya, dasar yang digubalnya, dan kehidupan yang dilaluinya.

Bagi pihak MCA, saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini.

Sebagai Presiden parti, saya telah mengarahkan agar bendera parti dikibarkan separuh tiang di semua pejabat MCA di seluruh negara sebagai tanda penghormatan tertinggi dan bagi mengenang seorang pemimpin parti yang legasinya akan terpahat selamanya dalam sejarah kita.





IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img