Mahkamah Rayuan jatuhkan hukuman mati ke atas penjual ayam bunuh wanita tolak lamaran

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang bekas penjual ayam kerana membunuh seorang wanita hampir 20 tahun lebih tua daripadanya, yang menolak lamarannya lapan tahun lalu.

Hakim Noorin Badaruddin berkata, keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan semasa perbicaraan tidak dapat disangkal menjurus kepada Nur Hussein Salleh, 42, melakukan kesalahan itu terhadap Hamidah Abdul Rahman.

Katanya, ini berdasarkan maklumat yang diberikan oleh tertuduh kepada polis sehingga membawa kepada penemuan bahan bukti yang kukuh, serta kelakuan tertuduh.

“Selanjutnya, terdapat juga keterangan daripada saksi pendakwaan yang melihat tertuduh berhampiran tempat kejadian,” kata Noorin yang menyampaikan alasan penghakiman ringkas panel tiga hakim, lapor FMT.

Panel yang dipengerusikan oleh Hakim Azmi Ariffin dan turut dianggotai Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid itu menolak rayuan Hussein terhadap sabitan kesalahannya tetapi membenarkan rayuan pihak pendakwaan agar tertuduh dikenakan hukuman mati.

Tahun lepas, hakim perbicaraan Bhupindar Singh menjatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 20 sebatan terhadapnya.

Hussein melakukan kesalahan itu di rumah mangsa di Taman Dato Leow Yan Sip, Ipoh, antara 12.01 tengah malam hingga 5 pagi pada 13 Mac 2017.

Noorin hari ini berkata, undang-undang mengenai keterangan mengikut keadaan adalah mantap dan boleh diguna pakai apabila keterangan langsung tidak mencukupi.

“Hakim perbicaraan harus menilai kesan daripada semua keterangan yang terkumpul dalam kes seperti ini,” katanya menambah, sabitan ke atas Hussein adalah kukuh.

Noorin berkata, panel itu telah menimbangkan rayuan pendakwaan terhadap hukuman, dengan mengambil kira bahawa si mati tidak membalas cinta tertuduh.

“(Tertuduh) merancang pembunuhan itu dan memberi gambaran seolah-olah dia berada di sebuah kafe siber berdekatan, tetapi seorang saksi melihatnya berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Noorin berkata, Hussein menyebabkan lapan kesan kelaran terhadap leher si mati menggunakan sebilah pisau.

“Dia secara terang-terangan tidak menghiraukan nyawa manusia,” katanya menambah, tertuduh turut mencuri barangan berharga si mati dan anak perempuannya sebelum meninggalkan rumah itu.

Ketika kejadian, Hamidah berusia 53 tahun, manakala Hussein 34 tahun

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari berhujah bahawa Hussein telah pergi ke sebuah kafe siber berdekatan tempat dia pernah bekerja dan mendaftar masuk pada 2.30 pagi, tetapi kembali semula ke tempat itu untuk mendaftar keluar pada 5.30 pagi, untuk memberi gambaran dia tidak pernah berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya, empat saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa mereka melihatnya di kawasan perumahan si mati pada masa pembunuhan itu dilakukan.

Amril berkata, motif pembunuhan itu ialah cemburu, dan tertuduh mendakwa si mati enggan berkahwin dengannya kerana hubungan mereka ditentang anak perempuannya.

Menurutnya, si mati berkenalan dengan seorang pesara polis dan bertunang dengannya dua bulan sebelum pembunuhan itu.

Amril berkata, tertuduh menunjukkan sikap ‘jika aku tak dapat, orang lain pun tak boleh dapat’.

Peguam Hafiz Jalaludin berhujah, pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah. Beliau juga berkata, anak guamnya telah mengemukakan pembelaan alibi bahawa dia berada di sebuah kafe siber.

Dalam petisyen rayuannya, Hussein mendakwa, dia mengenali Hamidah sejak 2013 dan mereka sepasang kekasih.


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img