MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan menentukan 22 Disember ini sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menjalani hukuman penjara di rumah atau tidak.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan tarikh itu selepas prosiding pengurusan kes dibuat secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.
Tarikh itu lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini iaitu 5 Januari tahun depan.
Berdasarkan surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syeela Marlina Uttaman, pihak firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib, 72, memohon mahkamah mempertimbangkan semula tarikh keputusan tahun hadapan.
Menurut surat itu, bekas Ahli Parlimen Pekan terbabit telah menjalani hukuman di Penjara Kajang hampir dua tahun lalu sejak Titah Adendum dikeluarkan.
Katanya, ia melebihi perkara yang sepatutnya berlaku kerana titah berkenaan jelas memperuntukkan bahawa Najib boleh menjalani baki hukuman penjara di rumah.
“Sehingga hari ini, Najib masih ditahan di penjara disebabkan perjalanan prosiding ini. Setiap hari yang dihabiskan dalam tahanan merupakan hari yang tidak akan dapat dikembalikan kepadanya,” katanya lapor media.
Lebih-lebih lagi, surat itu menyatakan bahawa pada 13 Ogos lalu, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memerintahkan prosiding ini dimuktamadkan sebelum 14 September.
Kata surat itu, Hasnah menekankan kepentingan menyelesaikan perkara berkenaan dengan segera memandangkan ia melibatkan isu kebebasan seorang individu.
Firma guaman itu juga turut menyatakan penahanan yang berterusan ini menafikan kebebasan seseorang dan bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja melindungi kebebasan fizikal tetapi juga maruah serta keselamatan individu.
Katanya, penahanan yang begitu lama menyebabkan Najib mengalami tekanan emosi yang serius, trauma dan kemerosotan ketara terhadap keadaan mental serta kesejahteraannya secara keseluruhan.
Ia turut menyatakan, perkara tersebut dibawa ke mahkamah kerana tarikh keputusan kian menghampiri tempoh dua tahun sejak Titah Adendum yang sepatutnya dikuatkuasakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.
“Dalam keadaan luar biasa ini dan atas arahan tegas anak guam yang semakin tertekan oleh kelewatan yang berpanjangan, kami dengan rendah diri dan penuh hormat memohon mahkamah mempertimbangkan semula serta mempercepatkan tarikh keputusan,” kata surat itu.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib juga memohon perintah bahawa jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.


