Maimunah hampir tidak pernah ambil cuti sepanjang lebih 500 hari  laksana tugas  Datuk Bandar KL

PENDEKATAN berpaksikan rakyat yang menjadi pegangan utamanya  memungkinkan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif hampir tidak pernah mengambil cuti sepanjang lebih 500 hari memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang berakhir hari ini.

Bercakap kepada wartawan selepas  Majlis Lambaian Kasih Datuk Bandar ke-15 di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr.Maimunah mendedahkan bagaimana jadual kerjanya sering berlarutan hingga awal pagi.

“Cuti saya ada lagi 60 hari. Saya tak ambil cuti. Saya kerja pagi, balik malam. Kalau lihat saya punya kad perakam kehadiran, tak ada satu hari pun saya pulang 5 petang, biasanya 8 atau 10 malam.

“Sampai masuk kerja hari Khamis dan pulang Jumaat 2 pagi (pun ada),” katanya sambil ketawa.

Beliau menegaskan, pendekatan berpaksikan rakyat itu  termasuk kekerapan turun padang bersama komuniti untuk memahami keperluan rakyat, khususnya golongan B40.

Maimunah berkata, dalam tempoh perkhidmatannya, beliau melaksanakan pembaharuan besar dalam aspek perancangan bandar, integriti kewangan, kemampanan, perumahan dan pendigitalan perkhidmatan bandar raya.

“Sejak hari pertama saya dilantik pada 14 Ogos 2024, saya membawa satu komitmen yang jelas iaitu ingin mengembalikan roh kemanusiaan dalam pentadbiran bandar bahawa setiap dasar, setiap projek dan setiap keputusan mesti memberi makna kepada hidup rakyat.

“Hari ini, saya berdiri di sini dengan rasa syukur kerana banyak perubahan besar telah kita lalui dan banyak kejayaan penting telah dicapai sepanjang tempoh kepimpinan saya,” katanya.

Maimunah yang akan digantikan oleh bekas Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkuat kuasa esok berkata, beliau  berpuas hati dengan prestasinya sepanjang berkhidmat dan pencapaian terpentingnya membabitkan pewartaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 pada Mei lalu.

“Sepanjang tempoh ini, saya sendiri mengetuai semakan ke atas lebih 60 projek pembangunan agar selaras dengan prinsip kemampanan, mobiliti, perlindungan warisan dan peningkatan kualiti hidup,” katanya.

Dari sudut tadbir urus dan kewangan, beliau turut mengambil keputusan berani merombak cara pengurusan perolehan dan perbelanjaan yang menyaksikan DBKL mencapai lebihan operasi, selain Kuala Lumpur juga semakin menonjol di mata dunia melalui penganjuran beberapa forum ASEAN dan penyertaannya sebagai ‘Unesco Creative City of Design.’

Semalam PETRONAS mengumumkan, Maimunah akan menjadi Penasihat Hartanah kepada GLC gergasi tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img