NEGARA tidak akan berjaya sekiranya kerajaan yang dibentuk terus memainkan sentimen kenegerian dan daerah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri yang bakal dibentuk di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 perlu menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) akan memberikan sokongan untuk memastikannya.
“Main sentimen negeri, main sentimen daerah, kita tidak akan berjaya. Saya tahu, ini musim berkempen pilihan raya tetapi kita kena ingat di sebalik semua itu, kita perlu memikirkan perkara yang dipertaruhkan untuk masa depan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama Masyarakat Cina di Sandakan malam ini.
Anwar meletakkan harapan agar calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura Vivian Wong Shir Yee, DUN Tanjong Papat Tang Szu Ching dan DUN Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin boleh memperoleh majoriti mudah pada PRN Sabah ke-17.
Perdana Menteri juga berkata Kerajaan Persekutuan akan membuat penyelarasan serta penambahbaikan terhadap pelaksanaan e-Invois serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi memudahkan syarikat kecil.


