MAIS: Hafaz Al-Quran Sahaja Tidak Cukup, Penguasaan Bahasa Arab Wajib Diperkasa

PENGUASAAN  bahasa Arab dalam kalangan penghafaz al-Quran perlu diperkasakan bagi memastikan hafazan yang dimiliki bukan sekadar diingati, sebaliknya mampu difahami dan diterjemahkan untuk manfaat masyarakat yang berhadapan pelbagai  cabaran semasa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pelajar tahfiz yang telah menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran perlu melengkapkan diri dengan ilmu bahasa Arab sebelum melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, agar penguasaan mereka terhadap al-Quran lebih menyeluruh dan berkesan.

Menurut beliau, hafazan tanpa kefahaman akan mengehadkan peranan al-Quran dalam membimbing masyarakat, sedangkan penguasaan bahasa Arab menjadi kunci utama untuk menterjemahkan mesej dan hikmah al-Quran mengikut konteks kehidupan masa kini.

“Bahasa Arab amat penting supaya ilmu al-Quran dapat diterjemahkan dengan betul untuk maksud pembelajaran dan dakwah kepada generasi di negara kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Hafazan Al-Quran 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz 2025 di Maahad Tahfiz Kiblah, di Sepang, semalam.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan menyediakan Universiti Islam Selangor (UIS) sebagai laluan persediaan atau feeder school kepada pelajar tahfiz, dengan penekanan khusus terhadap penguasaan bahasa Arab sebelum mereka melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah.

Menurutnya, UIS turut melibatkan tenaga pengajar berpengalaman dari Timur Tengah bagi memastikan pengajaran bahasa Arab dilaksanakan secara berkualiti dan selari dengan keperluan pengajian al-Quran.

Tambah beliau, pendekatan itu penting bagi membentuk generasi hafiz yang bukan sahaja menguasai hafazan, malah berupaya berperanan sebagai pendidik ummah, penyampai ilmu dan duta akhlak Islam dalam masyarakat.

“Anak-anak tahfiz ini bukan sekadar simbol kejayaan hafazan, tetapi perlu menjadi individu yang mampu memimpin, mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat,” katanya.

Salehuddin  Saidin dengan sambal diiringi Hashim Meon menyampaikan Sijil Tamat Hafazan 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz di Maahad Tahfiz Kiblah, Sepang semalam

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Nusantara, Tan Sri Dr. Hashim Meon berkata, 3,000 pelajar maahad itu telah berjaya menamatkan pengajian peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

“Daripada jumlah itu, 186 hafiz telah dikeluarkan dalam tempoh dua tahun bermula 2024. Maahad ini juga mempunyai Kolej Profesional Kiblah bagi melahirkan guru yang akan menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz di seluruh negara,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 16 pelajar diraikan selepas berjaya menamatkan hafazan al-Quran 30 juzuk dalam tempoh dua hingga tiga tahun, sekali gus mencerminkan keupayaan sistem pendidikan tahfiz yang diurus secara lebih terancang dan berfokuskan kualiti.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img