Majikan gaji pemandu asing jimat kos, JPJ sita 13 kenderaan

TINDAKAN majikan menggajikan warga asing sebagai pemandu lori semata-mata untuk menjimatkan kos gaji terbongkar apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 13 kenderaan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di sekitar Balakong, Kajang, hari ini.

Operasi khas itu dijalankan JPJ dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam usaha berterusan penguatkuasaan ke atas pemandu asing yang dijalankan bermula jam 6.30 pagi.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kenderaan yang disita membabitkan 11 lori bawah 7.5 tan, sebuah kereta dan van.

Menurutnya, selain itu sebanyak 47 notis tindakan dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk 47 notis (P)22 iaitu arah periksa serta notis mengikut Seksyen 61(1), 63(1) dan 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Warga asing terbabit digajikan bagi membawa lori barangan terbabit termasuk barangan runcit, manakala kereta adalah kenderaan e-hailing.

“Tiga kesalahan paling utama yang dikesan sepanjang operasi itu ialah tiada Lesen Vokasional (GDL) sebanyak 16 kes, diikuti 12 kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan lapan kes tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM),” katanya pada sidang media di Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih, hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, dalam operasi sama, JIM menahan 13 warga asing terdiri daripada enam warga Pakistan, lima warga India dan masing-masing seorang warga Nepal dan Bangladesh.

Katanya, antara alasan majikan menggajikan warga asing sebagai pemandu lori ialah mahu menjimatkan kos kerana bayaran gaji yang lebih rendah.

Menurutnya, pihaknya juga kesal kerana 11 lori dipandu warga asing terbabit digajikan warga tempatan.

“Kita tegas dan tiada toleransi kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk menyita kenderaan, pengeluaran notis dan pendakwaan akan terus dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh,” katanya.

Katanya, pemilik kenderaan dan majikan juga diberikan amaran keras supaya tidak membenarkan warga asing memandu tanpa kelayakan serta dokumen sah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img