Majlis kenduri kecoh, lebih 50 tetamu jatuh sungai akibat titi gantung runtuh

PERISTIWA ini pasti akan dikenang sampai bila-bila. Suasana meriah sebuah majlis perkahwinan bertukar kecoh apabila titi gantung menghubungkan lokasi kenduri itu runtuh secara tiba-tiba, mengakibatkan lebih 50 tetamu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek di Kuala Krai, Kelantan semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh di atas batu, manakala kanak-kanak cedera di bahagian kepala serta tiga lagi mengalami luka ringan serta sesak nafas.

TITI gantung menghubungkan laluan ke rumah pengantin runtuh di Sungai Chatel Damai, Lata Rek di Kuala Krai, Kelantan semalam. GAMBAR: Ihsan penduduk

Menurut Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari, kejadian  dikatakan berlaku apabila rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu pengantin perempuan di atas titi gantung berkenaan.

“Saya dimaklumkan semasa kejadian lebih 50 orang menggunakan laluan titi itu pada masa yang sama.

“Rombongan pengantin lelaki dari Pasir Puteh ingin pulang manakala tetamu daripada pengantin perempuan pula baru sampai ke kenduri,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

MOHD Zaki Saari bersama pasangan pengantin dalam kejadian titi gantung runtuh di Kuala Krai, Kelantan semalam. GAMBAR: Ihsan penduduk

Menurut beliau, sebaik sahaja dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut panggilan kecemasan telah dibuat dan empat buah ambulans segera ke lokasi.

Tambahnya, dua buah ambulans dari Hospital Sultan Ismail Petra manakala dua lagi daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai.

Mohd Zaki memberitahu, kesemua mangsa yang cedera segera dibawa ke hospital dan sehingga hari ini hanya mangsa lelaki yang mengalami patah kaki masih ditahan untuk menerima rawatan manakala selebihnya telah dibenarkan pulang.

“Saya dimaklumkan kanak-kanak yang mengalami cedera di kepala telah menerima beberapa jahitan.

“ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Manek Urai, Fauzi Abdullah telah hadir ke lokasi kejadian petang semalam dan titi gantung yang runtuh itu akan dibaik pulih segera,” katanya.

Beliau berkata, titi gantung itu telah dibaiki beberapa kali sebelum ini kerana ia merupakan laluan utama penduduk lima buah rumah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, laluan itu hanya boleh dilalui menggunakan motosikal serta pejalan kaki sahaja.

Tambahnya, ada laluan darat lain yang lebih jauh dan hanya boleh digunakan oleh motosikal sahaja.

“Apabila titi gantung ini runtuh, hasil pemeriksaan yang dilakukan semalam mendapati tali pengikat titi gantung di dalam simen sudah uzur dan perlu diganti baharu.

“Pihak kami akan segera mengangkat masalah ini kepada pihak terlibat bagi mendapatkan peruntukan segera untuk baik pulih,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img