PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengumumkan jumlah perdagangan Malaysia bagi tahun 2025 yang tertinggi dalam sejarah hari ini, sekali gus mencatatkan satu lagi pencapaian penting ekonomi negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman itu akan dibuat oleh agensi tersebut pada tengah hari ini, melibatkan jumlah perdagangan Malaysia yang mencecah paras tertinggi sebanyak RM3 trilion.
“Angka itu akan diumumkan secara terperinci dengan jumlah perdagangan untuk tahun 2025 mencecah paras tertinggi dalam sejarah.
“Oleh sebab itu, saya rumuskan perlunya penjelasan dasar, disiplin dan tatakelola yang baik selain meneroka pasaran baharu,” kata beliau pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai langkah kerajaan untuk menangani ketegangan pasaran perdagangan global.
Beliau berkata pencapaian perdagangan tersebut dicapai walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global dan perubahan dasar kuasa besar yang memberi kesan langsung terhadap perdagangan antarabangsa.
“Satu kenyataan yang perlu diberikan perhatian kerana kedudukan dan perubahan geopolitik, beberapa dasar kuasa besar yang tidak menentu termasuk Amerika Syarikat sama ada berkaitan tarif atau keputusan lain melibatkan negara-negara seperti Eropah, isu Greenland dan Venezuela yang menjejaskan banyak urusan perdagangan antarabangsa,” kata beliau.


