MALAYSIA menyasarkan pewujudan 200 Zon Rendah Karbon di seluruh negara menjelang 2030 sebagai langkah memperkukuh agenda perubahan iklim dan pembangunan mampan negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa inisiatif bandar rendah karbon yang telah memasuki tahun ke-12 penganjurannya.
“Kehadiran kita di sini bukan sekadar memenuhi protokol majlis, tetapi merupakan manifestasi komitmen kolektif kita dalam mengiktiraf usaha luar biasa yang telah dipamerkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), organisasi awam, serta pemain industri dalam mentransformasikan landskap bandar kita ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 di Kuala Lumpur.
Arthur berkata, bandar-bandar kini berada di barisan hadapan dalam menghadapi krisis iklim dengan suhu purata global telah meningkat lebih 1.1 darjah Celsius berbanding paras pra-industri dan semakin menghampiri ambang kritikal 1.5 darjah Celsius seperti ditetapkan dalam Perjanjian Paris.
Menurutnya, Malaysia telah menyerahkan Nationally Determined Contributions (NDC 3.0) kepada UNFCCC pada 24 Oktober 2025 dengan sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) secara mutlak sebanyak 15 juta hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang 2035.
“Di peringkat nasional, NRES menyasarkan pewujudan 200 Zon Rendah Karbon di seluruh negara menjelang tahun 2030.
“Setakat ini, 146 daripada 156 PBT telah menerima latihan berkaitan Low Carbon Cities Framework (LCCF), manakala 70 PBT telah memulakan pelaksanaan inisiatif rendah karbon di kawasan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan audit Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon sepanjang 2025 berjaya mengurangkan lebih 324,073.84 tan karbon dioksida setara serta mencatat penyerapan karbon melebihi 80,837.06 tan.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa setiap langkah kecil yang diambil di peringkat PBT memberikan sumbangan yang amat besar kepada kelestarian nasional,” katanya.


