KETUA Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, parti itu tidak akan sesekali melindungi mana-mana pemimpin dan ahlinya yang didapati menyalahgunakan kuasa.
Beliau berkata, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi amaran keras bahawa tiada sesiapa termasuk menteri akan dilindungi sekiranya terbabit dalam salah guna kuasa.
“Jangan pernah ambil kesempatan salah guna kuasa, jangan ambil kesempatan atau sempat ambil apa-apa… jangan sampai imej parti tercalar dengan pergi ke mana-mana kononnya mahu ‘tengok lesen’… bila diberi amanah, jangan dinodai.
“Ini peringatan kepada kita… kita dahulu berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa… jangan pula sekarang kita membenarkan perkara yang sama berlaku dalam kalangan kita,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR bagi Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak, Cheras malam ini.


