INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus komited memperkukuh hubungan dengan masyarakat dan memperkasakan pembangunan usahawan sektor agromakanan menerusi penganjuran Program Hari Bertemu Pelanggan MARDI Perak dan Karnival Usahawan MARDI Perak 2025, di Lanai Casuarina, Kuala Kangsar, hari ini.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata program berkenaan menjadi platform strategik untuk MARDI mendekati pelanggan di peringkat akar umbi, mendengar keperluan di lapangan serta memastikan teknologi dan inovasiyang dibangunkan benar-benar praktikal, relevan dan memberi impak langsung kepada pengguna dan industri.
“Program Hari Bertemu Pelanggan ini mencerminkan iltizam MARDI untuk sentiasa berada dekat dengan masyarakat, manakala Karnival Usahawan MARDI Perak pula membuktikan peranan MARDI bukan sekadar sebagai institusi penyelidikan, tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan usahawan agromakanan dan agroindustri,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Menurut beliau, kejayaan sektor pertanian dan agromakanan masa kini sangat bergantung kepada sinergi kukuh antara penyelidikan, pemindahan teknologi serta keupayaan usahawan menterjemahkan inovasi kepada produk dan perkhidmatan bernilai komersial.
Program sehari itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran dan jualan produk usahawan bimbingan MARDI, sesi khidmat nasihat teknikal dan perniagaan, demonstrasi teknologi pertanian, penyerahan sijil kepada usahawan bimbingan, penyampaian bahan tanaman kepada usahawan perintis serta aktiviti libat urus bersama agensi berkaitan.
Mengulas hala tuju sektor agromakanan negara, beliau berkata aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang menekankan peningkatan produktiviti domestik, pengukuhan rantaian nilai makanan, penggunaan teknologi moden, penglibatan agropreneur muda serta kelestarian ekonomi hijau memerlukan kerjasama erat antara MARDI dan para usahawan.
“MARDI akan terus berperanan sebagai penyedia teknologi, pengetahuan dan kepakaran, manakala usahawan pula menjadi rakan strategik dalam mengkomersialkan inovasi demi menyokong agenda keterjaminan makanan negara serta pembangunan ekonomi negeri secara mampan,” katanya.
Beliau berharap penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai golongan masyarakat khususnya belia dan usahawan baharu.


