Maritim Malaysia Pahang rampas 1.5 tan dadah syabu bernilai lebih RM83 juta dari dua kapal asing

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang merampas dadah jenis syabu seberat 1.572 tan yang bernilai lebih RM83 juta selepas menahan dua kapal berhampiran sempadan perairan Pahang dan Terengganu, semalam.

Dalam rampasan itu, sebanyak 18 kru dan tekong melibatkan 10 warga Thailand dan lapan warga Indonesia berusia antara 33 hingga 71 tahun ditahan yang berada dalam kedua-dua kapal berkenaan.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Mazlan Mat Rejab berkata, kedua-dua kapal terbabit ditahan antara jam 10.47 pagi dan 10.50 pagi, kira-kira 107 batu nautika timur laut Kuantan ketika berlayar ke arah selatan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kapal itu menemukan sejumlah 76 guni berisi syabu dalam sebuah kapal tangki.

“Dadah terbabit dipercayai untuk pasaran antarabangsa dan diseludup melalui perairan Malaysia. Kapal tangki dengan 13 kru didaftar di Thailand dan sebuah kapal lagi dengan lima kru didaftarkan di Indonesia.

“Kita syaki syabu terbabit dibawa kapal tangki akan dipindahkan ke kapal kargo,” katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.

Mazlan memberitahu, kesemua anak kapal dan tekong itu dipercayai anggota sindiket yang terbabit dalam pengedaran dadah antarabangsa dan menggunakan kapal tangki serta kapal kargo sebagai modus operandi untuk mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti lokasi penghantaran dadah untuk lebih sembilan juta penagih, serta mengesan rangkaian sindiket antarabangsa terbabit.

“Kedua-dua kapal yang ditahan itu ditunda ke Jeti Zon Maritim Malaysia Kemaman, Terengganu dan semua kru kapal direman sehingga 19 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta disebat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img