Maritim Malaysia selamatkan 13 pelancong terkandas tengah laut selepas bot rosak

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu berjaya menyelamatkan sebanyak 13 pelancong di tengah laut selepas bot penumpang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin di perairan Kuala Besut, petang semalam.

​Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika bot peronda PERKASA 48 sedang menjalankan rondaan rutin di kawasan perairan berkenaan.

​Menurut beliau, anggota bertugas terserempak dengan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan sebelum melihat penumpang melambai-lambai tangan meminta bantuan.

​”Ketua Bot PERKASA 48 bertindak menghampiri bot tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati bot penumpang mengalami kerosakan enjin.

​”Keadaan itu menyebabkan bot berkenaan hanyut dan terumbang-ambing di tengah laut pada kedudukan kira-kira 7.3 batu nautika di timur laut Muara Kuala Besut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Hamiludin berkata, kesemua 13 penumpang membabitkan pelancong tempatan dan warga asing berjaya dipindahkan ke bot PERKASA 48 sebagai langkah keselamatan.

​”Mangsa terdiri daripada seorang warga tempatan, manakala warga asing pula melibatkan empat dari China, United Kingdom (dua), Perancis (tiga), Singapura (dua) dan seorang warga Bangladesh.

​”Kesemua mereka dibawa dengan selamat ke Jeti Jabatan Laut Besut tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

​Susulan kejadian itu, Maritim Malaysia menasihatkan pengusaha bot penumpang agar sentiasa memastikan tahap keselamatan dan keadaan enjin berada pada tahap terbaik sebelum memulakan pelayaran.

​Orang ramai boleh melaporkan sebarang kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-746 4357 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img