SEBUAH bot penumpang yang membawa lebihan muatan selain seorang penumpang warga asing tanpa dokumen pengenalan diri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam satu operasi di perairan Pelabuhan Klang, petang semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 1.3 batu nautika barat Pelabuhan Klang.
Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan sekitar jam 5.50 petang ke atas sebuah bot penumpang yang dalam perjalanan dari Jeti Awam Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun yang bertindak sebagai nahkoda.
“Seorang penumpang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati bot berkenaan melanggar syarat lesen apabila membawa seramai 42 penumpang berbanding hanya 34 penumpang yang dibenarkan mengikut lesen.
“Kes ini disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat lesen, manakala penumpang warga asing terbabit disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Abdul Muhaimin menegaskan, pengusaha bot penumpang perlu mematuhi semua syarat keselamatan dan peraturan operasi yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam di laut,” ujarnya.


