Maritim tahan dua bot fiber, enam warga asing tiada dokumen

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua bot fiber serta enam warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah dalam operasi rondaan di perairan Kapar, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.8 batu nautika di barat Sungai Tambak Jawa Kecil, Kapar sekitar jam 11 pagi.

Menurutnya, tangkapan dibuat oleh sebuah kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin operasi di perairan Selangor.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua vesel tersebut dikendalikan oleh dua tekong warga tempatan masing-masing berumur 47 dan 62 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati salah satu bot membawa empat batang pokok yang menurut tekong berkenaan bertujuan untuk ditanam di kawasan perairan Sungai Janggut.

“Sebuah lagi vesel pula tidak mempunyai nombor pendaftaran dan membawa tujuh warga asing berumur antara 22 hingga 45 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tenaga kerja bagi aktiviti penanaman pokok tersebut.

“Bagaimanapun, pemeriksaan dokumentasi mendapati enam daripada warga asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi mempunyai dokumen lengkap,” katanya.

Katanya, kesemua individu bersama kedua-dua bot itu kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

“Kes bagi vesel pertama disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat
sah lesen iaitu menjalankan aktiviti selain menangkap ikan.

“Manakala, vesel kedua disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana tidak mempunyai dokumen serta nombor pendaftaran,” katanya.

Tambah beliau, enam warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Abdul Muhaimin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di laut dan akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang di perairan negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img