Mas Ermieyati tidak tunduk tekanan, terus pegang jawatan Pengerusi PN Melaka

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mas Ermieyati Samsudin membuat keputusan untuk terus memegang jawatan itu, meskipun berdepan desakan pihak-pihak tertentu yang mahukan beliau turut berundur.

Ketua Wanita PN itu menjelaskan, beliau tidak melepaskan jawatan tersebut kerana ingin memastikan kestabilan organisasi peringkat negeri, termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Keputusan untuk tidak meletakkan jawatan ini bukanlah didorong oleh sebarang kepentingan peribadi, apatah lagi kerana ingin mempertahankan jawatan atau kuasa.

“Sebaliknya, ia dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan PN pada peringkat negeri,” kata Ketua Srikandi parti Bersatu itu dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Mas Ermieyati, PN Melaka kini berada dalam fasa persiapan penting menghadapi PRN yang dijangka dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Untuk itu katanya, kesinambungan dan kerjasama erat kepimpinan amat penting bagi memastikan gerak kerja, penyusunan jentera dan strategi dapat berjalan dengan tersusun serta berkesan.

Mas Ermieyati bagaimanapun menegaskan beliau sedia melepaskan jawatan disandangnya dalam PN sekiranya itu keputusan bersama yang akan dibuat secara matang berlandaskan kepentingan parti dan gabungan.

“Segala keputusan penting wajar diserahkan kepada kebijaksanaan Mesyuarat Tertinggi PN yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan hubungan antara kepimpinan PN Melaka berada dalam keadaan yang baik, harmoni dan saling mempercayai sama ada sebelum, semasa dan selepas isu yang berlaku di Perlis.

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak agar menghentikan sebarang polemik terbuka di media sosial melibatkan hubungan antara Bersatu dan Pas kerana ia tidak membawa manfaat kepada parti mahupun gabungan.

“Saya percaya rakyat sedang memerhati pertelingkahan terbuka yang seolah-olah tidak berkesudahan antara dua parti utama PN yang pasti akan menghilangkan rasa hormat dan harapan mereka untuk bersama PN sebagai pilihan kepada Kerajaan MADANI yang sememangnya telah menghampakan mereka,” katanya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa esok, diikuti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor.

Selain itu, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Mohamad Hanifah Abu Baker, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian masing-masing turut meletak jawatan sebagai Pengerusi PN di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img