Begitu banyak masalah berkaitan disiplin pelajar sekolah dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT), bukanlah petanda yang setiap satunya terjadi sebagai kes terpencil. Ia adalah satu sindrom kepada satu fenomena atau malapetaka nasional.
Apabila ia telah menjadi satu malapetaka nasional, tidaklah boleh kaedah atau pendekatan bagi menyelesaikannya dengan sekadar melakukan beberapa tindakan terpencil dan spontan.
Jangan hendaknya kita menanganinya ibarat usaha memadam api yang sudah merebak besar dengan hanya menggunakan pemadam api kecil. Malapetaka nasional ini bukan lagi permasalahan yang hanya dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) atau Kementerian Pengajian Tinggi saja, untuk menyelesaikannya.
Kebimbangan kami seolah-olah malapetaka sebesar ini hanyalah sekadar bahan politik yang hangat. Begitu jadinya hanyalah kerana Menteri Pendidikan ini di awal tempohnya berada di kementerian, menunjuk-nunjukkan sangat taringnya yang terlalu hebat sebagai street-fighter .
Beliau lupa sudah berada dalam kerajaan dan mentadbir negara. Beliau lupa yang kerajaan terdahulu kini adalah pembangkang, yang sifat lumrahnya berperanan sebagai pembangkang yang provokatif serta mencari salah. Realitinya, Menteri Pendidikan sedang mengikuti ‘kelas pendidikan politik’
Beliau sebenarnya mewarisi satu malapetaka nasional disebabkan alam kehidupan, daripada institusi keluarga, kepada institusi masyarakat dan akhirnya ke institusi negara, yang telah menjadi begitu toksik.
Malapetaka yang menimpa daripada racun dan kuman yang amat toksik ini ialah keruntuhan sistem nilai, budaya, adab dan sahsiah serta keperibadian setiap insan, termasuk anak-anak yang masih mentah ibarat kain putih. Bukan salah beliau tercetusnya malapetaka itu, tapi salah pendekatannya yang tidak menjangkakan begitu banyak ujian yang datang mengujinya.
Menteri Pendidikan kini tiada pilihan, selain membuka ruang dan peluang kepada semua pihak, baik dalam kerajaan, mahupun pembangkang, serta pelbagai kumpulan pemikir dan cerdik pandai yang bernaung dalam pelbagai NGO.
Mereka perlu diajak untuk sama-sama duduk semeja. Tujuannya mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan sederhana, serta merencana pelan jangka panjang, bukan sekadar menangani malapetaka ini, malah lebih penting, mencorakkan satu naratif baharu, membentuk institusi dan sistem nilai institusi keluarga, masyarakat dan negara, yang hendak kita tinggalkan untuk generasi cucu cicit kita kelak.
Apa yang berlaku kini di sekolah dan IPT adalah indikator atau manifestasi kepada kepincangan yang berlaku di dalam institusi keluarga, masyarakat dan akhirnya negara. Indikator ini wajib kita fahami untuk menghasilkan remedi yang mampu menangani malapetaka seperti ditunjukkan oleh indikator itu.
Barangkali punca sebenar yang dipaparkan oleh indikator itu hanya satu, misalnya, keupayaan keibubapaan di rumah. Atau, barangkali bermacam-macam dan teramat rumit untuk dirungkai. Andai kata isu pokoknya hanyalah berkaitan keupayaan keibubapaan, pastinya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah tercuit untuk bertindak segera.
Saya sependapat dengan pandangan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang merujuk malapetaka ini sebagai sesuatu yang segalanya bermula di rumah. Beliau seraya memetik kepada satu pepatah Arab menyatakan “ mana mungkin melahirkan satu bayangan yang lurus elok jika datangnya daripada kayu yang bengkok.”
Tidak perlulah saya ulas pepatah ini kerana ia sungguh terang lagi bersuluh. Jika kita setuju dengan pandangan beliau, ayuh bersama kongsikan pandangan masing-masing untuk pertimbangan kerajaan.
Terpulanglah kepada kerajaan, hatta KPM, sama ada memilih untuk mengabaikan, menerima atau menepisnya. Saya ingin mulakan perbincangan dari sudut pembinaan senario semasa yang telah berlaku sekian lama, tanpa kita ambil peduli akan implikasinya. Mereka yang sezaman atau lebih dahulu daripada saya, tentu masih ingat, sekalipun memori itu sudah berusia lebih 50 tahun.
Di zaman itu, memasuki alam persekolahan ada adab (ritual) yang tersendiri. Saya masih ingat, sekalipun itu ialah sejarah yang berlaku pada Januari 1959, di Sekolah Kebangsaan Kampung Parit Selangor, Pontian Johor. Arwah abah hantar saya ke sekolah dan bawa saya terus berjumpa guru besarnya, Cikgu Salim Ahmad. Arwah abah seraya berkata kepada beliau, ‘Cikgu, didiklah anak saya ini sebaik-baiknya’.
Saya melihat dan masih ingat, dalam kesibukan begitu ramai ibu bapa datang menghantar anak-anak, arwah abah dapat lolos pergi mendapatkan Cikgu Salim untuk berwaad (berjanji). Saya juga masih ingat hingga kini beberapa orang cikgu ada sama pada masa itu. Di antaranya ialah Cikgu Sanusi.
Kemudian, apabila saya berada di darjah lima, barulah saya tahu yang Cikgu Sanusi ini amat giat dalam politik UMNO. Barulah juga saya faham mengapa agaknya acapkali Cikgu Sanusi ‘ponteng sekolah’.
Bila keesokan harinya muncul di sekolah, beliau membawa lipatan akhbar Utusan Melayu, dalam tulisan jawi. Rupa-rupanya beliau adalah juga seorang kolumnis di Utusan Melayu. Saya kaitkan cerita Cikgu Sanusi di sini bagi menggambarkan pada zaman persekolahan saya dulu, sekolah adalah juga institusi masyarakat.
Ramai dalam kalangan guru pula, seperti Cikgu Sanusi pada zaman dulu berperanan sebagai opinion leaders ’. Begitulah peranan di sekolah, cerita tahun 1959 dan kita kini berada dalam tahun 2025, yang penuh dengan serba kecanggihan.
Saya pula sudah berusia 73 tahun ada anak dan cucu. Isteri saya pula adalah mantan pengetua sekolah menengah. Hatta, kehidupan saya tidak pernah terputus dengandunia pendidikan.
Mesej yang ingin dikongsikan di sini ialah, sekalipun arwah abah saya tidak tinggi ilmunya, sekadar bersekolah setakat darjah 4 di Sekolah Rakyat Parit Bakar Darat, Muar, beliau tahu adab menyerahkan anaknya untuk menuntut ilmu di sekolah. Si cikgu pula, sama-sama berwaad (berjanji) menerima tanggungjawab dan amanah mendidik saya.
Di zaman saya membesar, sekalipun dalam serba kedaifan, dunia kami tidak toksik seperti sekarang. Dunia sekarang amat toksik dengan pelbagai racun dan kuman. Racun media sosial amat kuat pengaruhnya kepada pembinaan perwatakan, sahsiah dan keperibadian anak-anak.
Kuman yang menjangkiti minda dan hati ramai ibu bapa terutama dalam kalangan kelas menengah dan atas, yang merasa mereka cukup bijak dan berhak menentukan pendekatan bagaimana anak-anak mereka patut belajar (bukan dididik), kerap kali mencemarkan keharmonian di sekolah.
Kuman rasuah dan ekonomi gelap amat mempengaruhi ramai ibu bapa, menjadikan mereka taksub mendakap pelbagai sifat-sifat mazmummah. Hukum karmanya ialah kepada pembentukan sahsiah dan keperibadian anak-anak, pewaris kita semua.
Budaya politik tanpa arah turut merosakkan masyarakat, jauh lebih rosak daripada perbalahan ahli politik. Masyarakat terlalu taksub berpolitik sepanjang masa, sepanjang tahun.
Akhirnya, pelbagai aspek kehidupan dipolitikkan, seraya mengenepikan adab dalam bermasyarakat. Tepat sekali mesej khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 17 Oktober 2025, bertemakan ‘Mulianya umat dengan adab’.
Toksiknya dunia kita hari ini belum diambilkira oleh pelbagai faktor luaran yang sentiasa mengancam kehidupan kita. Seperti yang diungkapkan oleh Profesor Sir David Spiegelhalter dalam bukunya, The Art of Uncertainty , hari ini kita tidak mengetahui terlalu banyak yang tidak diketahui (unknowns of the unknowns).
Begitulah apa yang terjadi kepada seorang pelajar yang wajahnya nampak begitu sopan, menjadi mangsa pembunuhan kejam dengan 200 tikaman. Ibu bapanya terlalu hiba, tidak dapat membayangkan di mana silap anaknya sehingga dihukum sedemikian. Mereka langsung tidak terfikir atau terbayang di benaknya, apa yang mungkin boleh terjadi kepada anak kesayangannya itu.
Insaflah, insiden unknowns of the unknowns seperti itu boleh terjadi dalam sekelip mata, kepada kita semua, pada bila-bila masa. Bagi kita umat Islam, kita memang sentiasa reda kepada ketentuan-Nya.
Yang Maha Esa. Bagi kita, itulah unknowns of the unknowns . Dengan begitu toksik dunia yang kita diami ini, eloklah dirungkai satu persatu dan dinyahkan racun dan kuman yang berada di dalam kehidupan kita.
Pertama dan dengan kadar segera, Kerajaan hendaklah menapis dan menyekat segala bentuk posting dalam media sosial serta filem dan drama hiburan yang bersifat negatif dan ganas.
Kedua, institusi kepimpinan tertinggi negara hendaklah dengan segera redakan budaya politik tidak sihat, politik yang abaikan nilai- nilai budaya, adab dan tata susila bangsa dan pegangan agama kita semua. Janganlah mengharapkan bayang-banyang akan lurus andai kata tiangnya bengkang-bengkok.
Ketiga, kesan sampingan kuman rasuah dan ekonomi gelap juga ada hukum karmanya sendiri. Dengan nilai rasuah seperti mana dilaporkan SPRM sekitar RM277 bilion, manakala ekonomi gelap sekitar RM300 bilion, diparahkan lagi dengan penyelewengan atau penipuan perolehan negara bernilai sekitar RM7 bilion setahun.
Mahu atau tidak, setiap orang daripada kita, jika pun tidak banyak, sekalipun sedikit, ada terpalit juga dengan kuman rasuah ini secara tidak langsung. Oleh itu usaha mengekang jangkitan ketiga-tiga kuman ini daripada terus berleluasa, hendaklah segera diambil.
Sekitar 2023, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN) menyarankan satu akta khas segera digubal bagi mengekang usaha penggelapan perolehan cukai negara. Hingga kini belum kedengaran tindakan diambil bagi menyahut saranan ini.
Desakan saya berkaitan kuman rasuah dan ekonomi gelap ini bukan membawa maksud keluarga yang anaknya terjebak insiden keganasan adalah dari kalangan keluarga yang terdakap pelbagai sifat mazmumah terutama rasuah. Bukan begitu.
Maksud saya, jangkitan kuman rasuah ini menghukum masyarakat dan negara, secara simbolik, yang mewarnai alam kehidupan kita pada masa ini. Selari dengan usaha-usaha segera, pengurangan pelbagai toksik duniawi itu, beberapa kementerian dan agensi, hendaklah bergerak serentak, seiringan, bersepadu dan diselaras rapi.
Malah lebih afdal jika pihak GLC, PLC dan MNC juga sama-sama tampil mainkan peranan yang sewajarnya, menerusi pelbagai program tanggungjawab korporat (CSR) mereka.
Saya berikan beberapa gambaran seperti berikut, untuk semua pihak fikirkan secara membina (constructive):
* Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Hendaklah dengan segera mempergiatkan perlaksanaan Program Keibubapaan Pintar (Smart Parenting Program), pada skala besar, sebagai satu gerakan di seluruh negara, melibatkan semua keluarga.
Buat masa kini, perangkaan oleh DOSM 2024, menjumlahkan Malaysia ada lebih kurang 9.1 isi rumah (households). Program ini hendaknya tidak mengecualikan mana-mana isi rumah ini. Ini amat perlu kerana para pendidik berdepan begitu banyak masalah dengan ibu bapa.
Ada yang terlalu menunjukkan keangkuhannya terhadap pendidik. Ramai juga, terutama ibu bapa golongan B40, yang langsung tidak ambil peduli hal persekolahan anaknya, dek sibuk sama-sama mencari rezeki, kais pagi makan pagi, kais petang belum tahu jumpa rezeki.
* Kementerian Hal Ehwal Islam Hendaklah bersungguh-sungguh mengendalikan pelbagai program bagi memastikan semua umat Islam di Malaysia berkeperibadian sebagai ASWJ. Setiap seorang daripadanya mesti amat arif dengan setiap kandungan maqasid syariah yang merupakan panduan dalam kehidupan mereka, dalam negara yang Islam adalah Agama Persekutuan.
Bagi sesiapa yang sedang bergelumang dengan sifat-sifat mazmummah, segeralah hentikannya. Insaflah, anak-anak kamu sedang menerima hukuman karma daripada perbuatan kamu.
* Kementerian Kesihatan Aspek keafiatan yang sekian lama tidak begitu ketara, hendaklah dengan segera dijadikan prioriti. Fokus utama ialah seperti kesihatan mental dan keupayaan mengurus stress.
* Kementerian Dalam Negeri, terutama ialah pihak PDRM, iaitu Bahagian Kesalahan Juvenil, hendaklah segera bekerjasama dengan pihak KPM bagi mengendalikan pelbagai aktiviti, bagi membina kesedaran, berkaitan kesalahan juvenil.
Malah salah satu pendekatan strategik ialah penubuhan sebanyak mungkin Pasukan Kadet Polis di setiap sekolah. Di samping Pasukan Pengawas Sekolah, Pasukan Kadet Polis ini boleh, secara tidak langsung, berperanan menyamai Pasukan Polis Bantuan.
Banyak usaha-usaha kreatif boleh tercetus daripada penubuhan pasukan ini, sebagai salah satu usaha mengekang dan mengawal berlakunya insiden-insiden berunsur jenayah di sekolah. Lain-lain kementerian dan agensi juga boleh fikirkan bagaimana setiap satunya boleh menyumbang ilham dan usaha bagi sama-sama menangani malapetaka nasional ini.
Akhir sekali, ialah KPM dan KPT. Kedua-duanya hendaklah segera mengembalikan peranan pendidik dan pensyarah secara komprehensif, dalam satu ekosistem pendidikan yang sempurna dan berkesan.
Hakikatnya ialah, bahawasanya, tanpa pelajar, seseorang itu tidak bergelar guru atau pensyarah (No teacher or lecturer with out his subjects ) .
Cari dan himpunlah seramai mungkin, pakar-pakar pedagogi dan kaunseling, untuk dengan segera kembali perkemaskan proses mendidik dan membesarkan anak-anak bangsa pewaris negara.
KPI sekolah atau IPT bukan semata-mata bergantung kepada penilaian kuantitatif, akan tetapi mestilah juga dikembarkan bersama dan setara dengan kaedah penilaian kualitatif. Penilaian kualitatif adalah berkaitan sahsiah dan keperibadian pelajar.
Sekolah adalah medan untuk anak-anak dibimbing, membesar dan mengenali dunia dan kehidupan, iaitu maqasid kedua dalam turutan maqasid syariah. Di peringkat menengah, mereka ada opsyen untuk sama ada dididik menimba ilmu, atau dilatih mengasah bakat. Atau, jika seseorang pelajar itu memiliki keupayaan istimewa, asuh dan bimbhing mereka untuk menguasai kedua-duanya, ilmu dan bakat (brain & brawn).
Di peringkat IPT, keutamaan pendidikannya ialah untuk menyediakan pelajar berhijrah dari alam anak-anak ke alam dewasa, bagi siap siaga menggalas tanggungjawab menjadi warganegara bertanggungjawab.
Bagi kita yang beragama Islam, turutan matlamat maqasid syariah yang lima itu disusun sedemikian rupa bukan secara kebetulan. Tertibnya memiliki makna tersendiri untuk dipatuhi.
Pertama agama, kedua kehidupan (termasuk adab, budaya dan nilai) dan ketiga, barulah ilmu. Jika tertib itu difahami dan dipatuhi insya-Allah, kita dapat menangani malapetaka yang sedang mengancam, dengan penuh kebijaksanaan, tanpa perlu bertelagah dan berpecah belah sesama kita.
Bagi kami, majoriti berstatus warga emas, masih komited ingin terus menyumbang kepada negara tercinta ini. Kerajaan terutamanya KPM, janganlah hendaknya pandang kami dengan sebelah mata saja.
Betul, di KPM ad pegawai yang pakar dalam pelabagi aspek perancangan. Dalam kalangan kami juga ada kelebihan masing-masinhg, yang sedikit sebanyak boleh dimanfaatkan oleh negara menerusi KPM.
*Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).
UNDILAH |