PASUKAN Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) mencatat pencapaian memberangsangkan apabila melaksanakan sebanyak 3,523 tangkapan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan itu mencerminkan keupayaan negara dalam mengekang jenayah berprofil tinggi melalui pendekatan menyeluruh dan bersepadu.
“Dalam tempoh ini, sebanyak 3,523 tangkapan dilaksanakan melibatkan pelbagai operasi berimpak tinggi seperti Ops Samba 2.0, Ops Taufan, Ops Yellow, Ops Counter Setting dan Ops Bunga,” katanya ketika berucap pada majlis Sesi Libat Urus MATF: Way Forward di Ibu Pejabat SPRM, hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurutnya, kejayaan turut merangkumi pembongkaran sindiket berskala besar menerusi operasi seperti Ops White, Ops Kingfruit, Ops X, Ops Sikaro, Ops Metal, Ops Karen dan Ops Grip.
“Ini membuktikan pendekatan MATF mampu menembusi rangkaian jenayah yang kompleks, tersusun dan merentasi pelbagai sektor,” katanya.
Azam berkata, dari segi pemulihan aset, SPRM merekodkan sitaan berjumlah RM6.87 bilion pada tahun 2025 sahaja, selain pembekuan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian yang memberi impak langsung kepada hasil negara.
“Ini adalah mesej jelas bahawa setiap hasil yang diseleweng akan dijejaki dan dikembalikan kepada negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendekatan ‘whole-of-government’ kini menjadi keperluan dalam menangani jenayah moden yang semakin kompleks, dengan kejayaan terbabit membuktikan bahawa kerjasama bersepadu antara agensi mampu bukan sahaja mengekang jenayah, malah menghancurkan keseluruhan ekosistem sindiket.
Mengulas lanjut, Azam berkata, hasil operasi Ops Metal mendapati Malaysia dijadikan lokasi pembuangan sisa haram seperti e-waste dan plastik dari luar negara.
Katanya, kegiatan itu melibatkan pemalsuan dokumen, salah pengisytiharan kargo serta penyalahgunaan lesen import, malah wujud elemen rasuah yang membolehkan kontena melepasi pintu masuk tanpa pemeriksaan sewajarnya.
“Ini bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi jenayah ekonomi dan kedaulatan negara kerana bukan sahaja menanggung risiko pencemaran, tetapi kehilangan hasil dan reputasi di peringkat antarabangsa.,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu penyeludupan diesel dan tayar yang menyebabkan ketirisan hasil cukai mencecah ratusan juta ringgit.
“Begitu juga dengan kes seperti penyeludupan diesel (Ops Karen) dan penyeludupan tayar (Ops Grip). Aktiviti ini menyebabkan ketirisan hasil cukai mencecah ratusan juta ringgit.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana sindiket ini mampu beroperasi dalam tempoh yang lama dan ini menunjukkan wujudnya kelemahan sistem, manipulasi proses dan kemungkinan pembabitkan ‘enabler’,” katanya.
Mengulas mengenai isu ‘mafia korporat’, Azam berkata, kumpulan tersebut beroperasi secara tersusun dengan menggunakan struktur korporat sah bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kita perlu melihat realiti hari ini dengan jelas dan tanpa berselindung apa yang kita hadapi bukan lagi jenayah biasa, tetapi satu ekosistem jenayah terancang yang digerakkan oleh apa yang saya istilahkan sebagai ‘Corporate Mafia’.
“Mereka ini bukan sahaja melindungi aktiviti haram, malah memanipulasi struktur korporat, membersihkan wang haram, serta memanipulasi sistem untuk memastikan jenayah terus berlaku tanpa dikesan,” katanya.


