SEORANG murid tingkatan tiga maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan kereta di Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan jam 6.40 pagi, mangsa Noor Hazimi Noor Hashim, 15, dari Kampung Makam, Kepong, meninggal dunia di lokasi kejadian di Kampung Belukar Sukai, selepas mengisi minyak di stesen minyak di Kampung Pengadang Baru.
Difahamkan, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah untuk mengambil adiknya, Noor Hasmiea yang belajar di tingkatan dua di sekolah yang sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan siasatan mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Difahamkan mangsa dikatakan gagal mengelak selepas kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki yang secara tiba-tiba keluar daripada persimpangan jalan.
Noor Hazimi dikatakan tercampak ke atas kereta dan motosikal jenis Honda EX5 ditungganginya terbakar, lapor Harian Metro Online.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.


