SEORANG lelaki maut disambar petir ketika pulang daripada memancing bersama rakan-rakannya di Jeti Nelayan Teluk Baru, dekat Langkawi semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, Ishak Hashim, 57, dari Kampung Berjaya, Langkawi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
“Mangsa yang juga pemilik bot keluar memancing bersama tiga rakannya pada 8 pagi melalui jeti nelayan itu. Kira-kira 7.20 malam mereka semua pulang semula ke jeti selepas selesai memancing dan ketika itu hujan dan semuanya berlindung di bawah bumbung jeti berkenaan.
“Sebelum itu, mangsa sempat mencuci bot dan menunaikan solat Maghrib sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke rumah walaupun dalam keadaan hujan kerana sudah basah dan tidak tahan sejuk,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, semasa hendak mengambil batang pancing, mangsa disambar petir sehingga menyebabkan dia terjatuh ke bawah jeti.
“Orang awam yang berada di situ turut membantu mengangkat mangsa naik ke atas bot sebelum dibawa ke darat. Mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke hospital kira-kira 8.35 malam sebelum disahkan meninggal dunia sejam kemudian.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



