SEORANG wanita maut selepas Proton Saga yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 272.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi, selepas kawasan Rehat dan Rawat Seremban itu, mangsa berusia 20-an yang berada di bahagian penumpang dilaporkan tersepit selepas dipercayai merempuh bahagian belakang lori berkenaan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Kamarulzaman Md Salleh berkata, setibanya di lokasi kejadian, pasukan penyelamat mendapati seorang wanita tersepit di dalam Proton Saga tersebut.
“Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas termasuk cutter, spreader, dan Holmatro Combi-Tools bagi memotong rangka kenderaan untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu kereta lelaki berusia lingkungan 20-an dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk menerima rawatan.
Pemandu lori, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 7.30 pagi.


