POLIS tidak menolak kemungkinan mayat wanita yang ditemui dalam keadaan dikerat tujuh bahagian dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuhnya dibuang di kawasan rumah kedai Indah Permai, Menggatal, Kota Kinabalu, pagi tadi.
Mangsa dipercayai dikerat pada bahagian leher, badan, punggung, kedua-dua tangan dan kaki, sebelum anggota tubuhnya dimasukkan ke dalam plastik sampah dan dibuang berasingan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi, hari ini.
Menurutnya, susulan laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai.
“Kesemua bahagian yang dijumpai dipercayai milik seorang mangsa yang sama namun setakat ini, identiti masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) serta Unit Anjing Pengesan (K9) turut menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian bagi tujuan pengumpulan bahan bukti.
“Berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuh tersebut dibuang di kawasan berkenaan,” katanya.
Syed Lot berkata, mayat telahpun dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada pukul 8.30 pagi Jumaat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.


