POLIS mengenal pasti mayat wanita yang ditemukan dalam keadaan reput di bawah longgokan pelepah kelapa sawit di kawasan ladang di Telemong, kelmarin sebagai warga Indonesia berusia lingkungan 40 tahun.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, identiti wanita itu dikenal pasti, selepas suaminya tampil membuat pengecaman pagi ini.
“Proses bedah siasat ke atas mayat tersebut telah selesai semalam dan hasilnya mendapati mayat itu telah reput lebih daripada dua minggu. Kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Jerantut dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, di Kuantan hari ini.
Yahaya berkata, kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Media semalam melaporkan mayat wanita dalam keadaan reput ditemukan di bawah longgokan pelepah kelapa sawit di sebuah kebun kelapa sawit di Kilometer 30.5 (Batu 19) Jalan Karak-Kuala Pilah, Telemong.
UNDILAH |



