MCMC siasat tiga individu dipercayai sebar maklumat palsu kenaikan tarif elektrik

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu yang mendakwa berlaku peningkatan tarif baharu elektrik di media sosial baru-baru ini.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, individu terbabit menyebarkan kandungan itu menerusi platform digital iaitu Facebook, Threads, dan WhatsApp.

Katanya, maklumat palsu itu juga dipercayai menyalahguna elemen reka grafik sebuah agensi berita.

“Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkenaan peningkatan tarif elektrik adalah bersifat palsu dan boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik kepada masyarakat.

“Hasil semakan mendapati bahawa kandungan tersebut telah disunting daripada kandungan rasmi Astro Awani,” kata kenyataan MCMC yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

MCMC memaklumkan, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” tegas MCMC.

Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img