DALAM era penyebaran maklumat tanpa sempadan, pengamal media disaran memperkukuh amalan kewartawanan beretika dengan mematuhi garis panduan khusus dalam mengendalikan kandungan sensitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood menegaskan, setiap keputusan editorial perlu berpaksikan empat prinsip utama bagi memastikan laporan yang diterbitkan bukan sahaja berinformasi, malah bertanggungjawab terhadap masyarakat.
Menurutnya, prinsip tersebut meliputi keperluan memastikan sesuatu kandungan mempunyai kepentingan awam yang jelas, di samping usaha meminimumkan kesan mudarat kepada audiens.
Selain itu, katanya, aspek menjaga maruah mangsa serta mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh membawa kepada pengecaman awal oleh waris juga perlu diberi penekanan.
“Dalam dunia digital yang bergerak pantas, maklumat boleh tersebar dalam sekelip mata. Ada situasi di mana keluarga mengetahui kejadian menimpa orang tersayang melalui media sosial sebelum dimaklumkan secara rasmi.
“Perincian seperti pakaian, kenderaan atau gambaran lokasi sudah memadai untuk menimbulkan syak dan akhirnya mencetuskan trauma yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat media berkaitan garis panduan kandungan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menghimpunkan wakil organisasi media di Cyberjaya hari ini.
Taklimat berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali dianjurkan bagi memperkukuh kefahaman pengamal media dalam mengendalikan laporan berkaitan tragedi, kemalangan dan bencana secara lebih berhemah dan berintegriti.
Mengulas lanjut, Mediha menjelaskan, pendekatan bilik berita juga perlu lebih berhati-hati, termasuk dengan menyediakan amaran kandungan serta mengelakkan paparan imej grafik yang boleh memberi kesan emosi kepada orang ramai.
Dalam konteks teknologi semasa, beliau turut mengingatkan bahawa kandungan yang disiarkan berpotensi disebarkan semula oleh algoritma platform digital, sekali gus meluaskan capaian di luar konteks asal dan meningkatkan risiko trauma berulang kepada pihak terlibat.
Tambahnya, kaedah penyuntingan seperti mengaburkan atau pikselkan imej tidak lagi menjamin perlindungan identiti sepenuhnya berikutan keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih.
Sehubungan itu katanya, setiap bahan yang ingin diterbitkan perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira implikasi jangka panjang serta sensitiviti masyarakat, khususnya melibatkan mangsa dan keluarga mereka.


