SEORANG mekanik putus kaki kanan selepas kereta yang sedang dibaikinya secara tiba-tiba meletup di Kampung Air Merbau Dalam di Tanah Merah, semalam.
Susulan kejadian jam 2.30 petang, mangsa berusia 31 tahun dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Kemahang, Pegawai Bomba Kanan I Mat Nuri Muhamad, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.03 pagi ini.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi dan sejurus tiba pasukan operasi mendapati terdapat kesan akibat letupan pada bahagian badan kereta Perodua Kancil yang berada di dalam bengkel.
“Maklumat yang diperoleh daripada pihak polis mengatakan terdapat seorang lelaki cedera pada bahagian kaki kanan dan dihantar ke hospital oleh orang awam semalam,” katanya hari ini, lapor BuletinTV3.
Beliau berkata, pihaknya membuat pemantauan dan keadaan terkawal serta selamat. Kes diserahkan semula kepada pihak polis.


