Menteri Israel paling jahat ceroboh Al-Aqsa lagi, Tebing Barat  sasaran terbaru Zionis selepas Gaza

Menteri Israel paling jahat , Itamar Ben-Gvir, sekali lagi mencetuskan ketegangan apabila menceroboh kawasan kompaun Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki awal pagi ini (waktu Malaysia), diiringi puluhan pendatang haram Yahudi dan dilindungi oleh polis Israel.

Menurut Direktorat Wakaf Islam Baitulmaqdis dan saksi, lawatan provokatif oleh Menteri Keselamatan Negara Israel, itu merupakan pencerobohan kedua dalam tempoh seminggu, yang diadakan tanpa pengumuman awal serta tanpa kebenaran rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Majlis Wakaf Islam memaklumkan, pencerobohan tersebut berlaku pada hari terakhir perayaan Sukkot Yahudi dan disertai dengan upacara Talmudik di kawasan timur masjid, lapor agensi berita Palestin, WAFA.

Serangan itu turut disertai peningkatan langkah keselamatan tentera Israel di pintu masuk Masjid Al-Aqsa dan kawasan Bandar Lama. Minggu lalu, Ben-Gvir mengetuai kira-kira 1,200 pendatang Yahudi menceroboh kawasan sama sempena hari kedua perayaan Sukkot, menurut agensi Anadolu.

Majlis Wakaf Islam mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai “pelanggaran paling serius terhadap status sejarah dan undang-undang Masjid Al-Aqsa dalam era moden.”

Menurut kenyataan majlis itu, pihak berkuasa Israel dan kumpulan pelampau Yahudi telah melakukan pelbagai “pencerobohan terang-terangan dan belum pernah berlaku sebelum ini”, termasuk upacara keagamaan Yahudi, nyanyian, tarian, pengibaran bendera, serta penyembelihan haiwan dan tumbuhan di dalam kawasan masjid.

Seorang tentera Israel cuba melakukan provokasi apabila mengganggu seorang rakyat Palestin yang sedang bersolat di Masjid Al-Aqsa untuk memeriksa dokumen pengenalan diri.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Negeri Jordan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ben-Gvir serta pencerobohan berterusan oleh pelampau Yahudi dengan perlindungan polis  Israel, sambil menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmaqdis dan tempat suci Islam serta Kristian di kota itu.

Sementara itu, pasukan tentera Israel melancarkan siri serbuan di beberapa kawasan di Tebing Barat, termasuk kem pelarian Qalandiya di utara Baitulmaqdis, dengan melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah penduduk, menurut Al Jazeera Arabic.

Di Al-Bireh, kenderaan tentera menyerbu kawasan Desh Marhaba, menggeledah beberapa rumah, manakala serbuan turut dilaporkan di Tubas, Tamon, dan Khirbet Samra, di mana pasukan infantri dikerahkan ke kawasan perumahan.

Serbuan juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Ramallah dan Al-Bireh pada awal pagi Selasa, termasuk rumah Issam al-Froukh, seorang bekas tahanan Palestin yang dihantar pulang ke Gaza.

Di kampung Deir Ibzi’, barat Ramallah, tujuh rumah diserbu dan pemiliknya disoal siasat di lapangan. Tentera turut menyerbu Ein Arik dan Ni’lin di kawasan sama.

Sementara itu di Hebron (al-Khalil), tentera menyerbu Idhna dan al-Koum, menukar dua rumah menjadi pos tentera. Di Idhna, rumah Mahdi Mohammad Tamizi diambil alih, dan sekolah ditangguhkan selepas tentera menembak gas pemedih mata ke arah penduduk.

Pasukan Israel turut menyerbu Sekolah Kisan di timur Bethlehem, memberi amaran kepada guru agar tidak membincangkan isu tahanan Palestin, dan mengancam akan menyerbu semula jika larangan itu dilanggar.

Dalam insiden berasingan, pendatang haram Israel menyerang kakitangan Majlis Kampung Duma di selatan Nablus ketika mereka menjalankan kerja pembukaan jalan Wadi Nasser dengan kebenaran rasmi.

Menurut WAFA, kumpulan pendatang tersebut melepaskan tembakan, menyerang pekerja, merosakkan kenderaan majlis, dan mencuri buah zaitun daripada tanah milik penduduk Palestin.

Pendatang juga dilaporkan membakar sebuah kenderaan di Beitin, timur Ramallah, milik keluarga Saji Darwish, seorang rakyat Palestin yang terbunuh.

Di Bardala, Lembah Jordan Utara, mereka memusnahkan lebih 150 pokok zaitun berbuah milik Sultan Rashid Mubaslat, menurut laporan WAFA.

Kawasan tersebut dilaporkan menyaksikan peningkatan serangan oleh pendatang bersenjata sejak penubuhan pos penempatan haram baharu di barat Bardala kira-kira setahun setengah lalu, yang turut melibatkan perampasan tanah, pembakaran harta, dan pemusnahan tanaman Palestin.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4496″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img