MENTERI Keselamatan Negara Israel yang berhaluan ekstrem dan dianggap paling jahat, Itamar Ben Gvir, sekali lagi mencetuskan kemarahan antarabangsa selepas satu rakaman video menunjukkan beliau memasuki sebuah penjara Israel dan menghina tahanan Palestin sambil mendesak agar mereka dihukum mati.
Rakaman itu, yang kini tersebar di media sosial, memaparkan Ben Gvir memaksa mahu masuk ke Penjara Notzot dan berdepan dengan sekumpulan tahanan Palestin yang diikat dan duduk berhimpit di lantai dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.
Dalam klip tersebut, Ben Gvir dilihat mengejek tahanan sambil berkata: “Kamu tidak akan mendapat coklat, jem, televisyen atau radio,”– satu kenyataan yang mengesahkan bahawa hak asasi serta kemudahan asas para tahanan sengaja dinafikan.
Ben Gvir turut menyeru agar hukuman mati dilaksanakan terhadap tahanan Palestin, yang beliau labelkan sebagai “pengganas”. Tindakannya itu mencerminkan peningkatan ucapan kebencian dan retorik perkauman dalam kalangan anggota kerajaan Israel.
Aktivis hak asasi manusia mengutuk keras tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai bukti jelas “balas dendam yang diinstitusikan oleh negara” serta pelanggaran terang-terangan terhadap konvensyen antarabangsa yang menjamin maruah dan keselamatan tahanan.
Ben Gvir, ahli politik sayap kanan yang terkenal dengan pendirian anti-Arab dan ultranasionalis, sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin:
Ogos 2023: Dalam satu temubual televisyen, beliau menyatakan bahawa “hak saya, isteri dan anak-anak saya untuk bergerak di Yudea dan Samaria lebih penting daripada kebebasan bergerak bagi orang Arab.” Kenyataan itu dikecam luas sebagai pengakuan terbuka terhadap ideologi apartheid.
Sejak akhir 2023: Ben Gvir turut mendesak agar bantuan kemanusiaan ke Gaza dihentikan sepenuhnya. Beliau menyatakan, “Tiada sebab walau segram makanan atau bantuan dibenarkan masuk ke Gaza,” menjadikan penafian bantuan sebagai senjata politik dan ketenteraan — dasar yang akhirnya menyumbang kepada kebuluran di Gaza yang mengorbankan ratusan nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.
Januari 2024: Ben Gvir berulang kali menyeru pengusiran penduduk Palestin dari Gaza. Beliau berkata, “Kita mesti galakkan penghijrahan penduduk Gaza. Ini adalah etika! Ini rasional! Ini benar! Ini hukum Torah dan satu-satunya jalan!”
Julai 2024: Ketika tentera Israel disiasat atas tuduhan mencabul dan mendera seorang tahanan Palestin di kem tahanan Sde Teiman, Ben Gvir mempertahankan mereka dan menyifatkan siasatan itu sebagai “memalukan”, sambil menuntut pihak tentera memberi sokongan penuh kepada mereka.
2024–2025: Beliau secara berterusan mendesak pelaksanaan hukuman mati terhadap tahanan Palestin, malah pernah berkata mereka “patut ditembak di kepala,” sambil mengugut akan menggulingkan kerajaan jika undang-undang itu tidak diluluskan.
Sebelum menyertai politik, Ben Gvir turut beberapa kali dirakam melaungkan slogan perkauman “Maut kepada orang Arab” dalam perarakan nasionalis – mencerminkan akar fahaman ekstremis dan anti-Arab yang dipegangnya sejak sekian lama.



