KENAIKAN harga minyak mentah dunia susulan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran meningkatkan kebimbangan terhadap kesan ekonomi global.
Menurut laporan Qatar News Agency (QNA), harga rasmi minyak mentah Oman bagi penghantaran Mei mencecah AS$100.31 setong pada 6 Mac 2026, iaitu kira-kira RM391 setong berdasarkan kadar tukaran sekitar RM3.90 bagi setiap dolar AS.
Harga tersebut meningkat AS$5.84 setong berbanding AS$94.47 setong (sekitar RM368 setong) pada hari sebelumnya.
Penganalisis geopolitik kanan di Rystad Energy, Jorge Leon berkata ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah berpotensi menyebabkan lonjakan harga minyak yang lebih besar.
Menurut beliau, harga minyak mentah penanda aras dunia iaitu Brent crude oil boleh melonjak sekitar AS$20 setong (kira-kira RM78 setong) berikutan peningkatan risiko geopolitik di rantau tersebut.
Situasi itu berlaku ketika Iran dilaporkan melancarkan tindak balas berskala besar dengan menyasarkan pangkalan tentera AS serta sekutu negara-negara Teluk, sekali gus memperluaskan konflik di rantau tersebut.
Gangguan paling besar terhadap pasaran tenaga global dijangka berlaku di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 15 juta tong minyak sehari, bersamaan hampir 30 peratus perdagangan minyak laut dunia.
Jika laluan itu terganggu atau ditutup, dianggarkan antara lapan hingga 10 juta tong minyak sehari bekalan global boleh hilang daripada pasaran, walaupun sebahagian daripadanya mungkin dialihkan melalui laluan alternatif.
Beberapa negara Teluk mempunyai kemudahan paip alternatif, termasuk Arab Saudi yang memiliki paip East-West ke Laut Merah dengan kapasiti sekitar lima juta tong sehari, serta Emiriah Arab Bersatu yang mempunyai paip Abu Dhabi berkapasiti kira-kira 1.5 juta tong sehari.
Namun kapasiti tersebut masih tidak mencukupi untuk menggantikan sepenuhnya jumlah minyak yang biasanya melalui Selat Hormuz.
Sementara itu, data daripada Yahoo Finance menunjukkan kontrak hadapan Brent crude oil meningkat 8.38 peratus kepada AS$92.57 setong (sekitar RM361), manakala kontrak hadapan West Texas Intermediate naik lebih 11 peratus kepada AS$90.02 setong (sekitar RM351).
Kenaikan harga itu turut dipengaruhi kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang menyatakan bahawa tidak akan ada sebarang perjanjian dengan Iran kecuali “penyerahan tanpa syarat”.
Dalam pada itu, Menteri Tenaga Qatar, Saad al-Kaabi memberi amaran bahawa konflik yang berterusan di Timur Tengah boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dunia, malah eksport minyak dari rantau Teluk mungkin terpaksa dihentikan sementara jika gangguan terhadap laluan penghantaran berlanjutan.


