MOTAC anjur Festival Wayang Kulit Kelantan di ASWARA pada 31 Oktober hingga 2 November

KEMENTERIAN Pelancongan Seni dan Budaya  (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara(JWN) dengan kerjasama Akademi  Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta  Pertubuhan Titih Warisan sebagai rakan strategik utama akan menganjurkan Festival Wayang Kulit Kelantan  (FWKK) pada 31 Oktober – 2 November 2025 bertempat di Akademi Seni Budaya  dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Warisan Negara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kenyataan berkata,  festival itu bertepatan dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu di bawah Budaya Nilai Tinggi, Pemuliharaan dan Pemeliharaan Warisan Budaya dan Kecemerlangan Budaya.

‘’FWKK ini dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Warisan  Budaya Tidak Ketara 2025 atau International Day of the Intangible Cultural Heritage 2025 yang disambut seluruh dunia pada 17 Oktober dan dianjurkan oleh UNESCO sebagai edisi kedua sejak ia diisytiharkan secara rasmi pada tahun 2024,’’ kata kenyataan itu.

Majlis Pra-Pelancaran Festival Wayang Kulit Kelantan dan Sambutan Hari Antarabangsa Warisan Budaya Tidak Ketara 2025 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohamad Muda Bahadin di Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.

Menurut kenyataan tersebut,  tujuan sambutan adalah untuk meningkatkan kesedaran global tentang  kepentingan memelihara dan menghargai Warisan Budaya Tidak Ketara seperti tradisi lisan, seni persembahan, amalan sosial, ritual, dan kemahiran kraf tradisional.

‘’UNESCO menggalakkan penyertaan daripada negara-negara anggota Konvensyen 2003, komuniti tempatan dan penjaga warisan, institusi budaya dan pendidikan serta organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama  memeriahkan sambutan ini,’’ katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, objektif utama FWKK diadakan bagi mempromosikan dan memartabatkan  Wayang Kulit Kelantan yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) serta sempena pencalonan Wayang Kulit Kelantan ke UNESCO pada tahun 2024.

‘’Wayang Kulit  Kelantan akan diinskripsi oleh UNESCO pada tahun 2026 dan ia merupakan  sebahagian daripada pengisian yang dapat mengimarahkan Tahun Melawat Malaysia 2026,’’ katanya kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, ia juga akan mengangkat Wayang Kulit Kelantan sebagai seni persembahan yang melambangkan identiti dan budaya warisan negara agar seni ini dapat dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa selain mewujudkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, swasta, institut pengajian tinggi, sekolah, penggiat, pengamal dan komuniti sebagai inisiatif pelan perlindungan Wayang  Kulit Kelantan.

‘’Penganjuran Festival Wayang Kulit Kelantan membawa kepentingan strategik dalam memperkukuh dan memperkasakan identiti budaya negara dan merancakkan pelancongan domestik. Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai  platform promosi seni budaya tempatan, malah ia menggalakkan kerjasama antara pihak Kerajaan,NGO,Institusi Pendidikan,Sektor Swasta dan Komuniti dalam  pembangunan pelancongan dan budaya negara,’’ katanya.

Pengisian FWKK 2025 ialah :

  1. Festival Wayang Kulit Kelantan dilaksanakan sebagai sebuah platform strategik untuk mempersembahkan keunikan Wayang Kulit tradisional, khususnya dari Kelantan sebagai seni warisan kebudayaan negara.

Pelaksanaan program ini berkonsepkan pendekatan interaktif, inklusif dan  kolaboratif yang merangkumi pelbagai pengisian seperti:

(i) Persembahan Wayang Kulit Kelantan pelbagai versi iaitu Wayang  Kulit Tradisional, Wayang Kulit Moden, Wayang Kulit Eksperimen,  Wayang Kulit Pembelajaran

(ii) Bengkel pembuatan alat muzik dan patung wayang kulit (kaedah  tradisional & moden)

(iii) Bengkel pemuliharaan patung wayang kulit menggunakan kaedah  konservasi

(iv) Pertandingan persembahan antara universiti, tiupan serunai, ukiran  patung dan lukisan.

(v) Interaktif bersama pengunjung : Jom Jadi Tok Dalang”/Jom Cuba Wayang Kulit”

(vi) Sesi perkongsian ilmu Forum Bicara Pelan Perlindungan (safeguarding plan) Wayang Kulit Kelantan dan Evolusi Wayang Kulit Kelantan

‘’Penganjuran Festival Wayang Kulit Kelantan 2025 adalah satu langkah strategik dalam usaha pemeliharaan dan perlindungan Wayang Kulit Kelantan. Melalui program ini, ia bukan sahaja memperkasakan warisan persembahan tradisional tetapi turut merapatkan jalinan komuniti menerusi kesenian tradisional yang menjadi lambang identiti kita bersama’’ kata kenyataan itu.

Festival itu juga disokong dengan kerjasama  dari agensi kerajaan dan swasta yang terlibat seperti Jabatan Muzium Malaysia, Perbadanan Kraftangan Malaysia, Balai Seni Negara, Universiti Sunway, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, PUSAKA dan Datum Jelatek.

Untuk rekod, Malaysia telah menjadi negara anggota Konvensyen 2003 UNESCO sejak 27 Julai 2013.

Malaysia telah menyertai Konvensyen 2003 UNESCO  untuk Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara, yang bertujuan memelihara  tradisi, amalan, dan ekspresi budaya komuniti. Seterusnya, Malaysia berjaya  menduduki kerusi Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the  Intangible Cultural Heritage bagi sesi 2022–2026.

 


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img