SEORANG mudir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Gua Musang hari ini atas tiga pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, antara 4 hingga 6 Mac lalu.
Tertuduh, Mohd Razali Ab Ghani, 43, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di sebuah asrama tahfiz di Gua Musang pada jam 11 malam, 4 Mac 2026.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di sebuah bilik pejabat di sekolah anak yatim, jam 11 malam, pada 5 dan 6 Mac 2026.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanan-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat bagi setiap kesalahan yang dilakukan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM30,000.
Mahkamah menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


