Muhyiddin sifatkan perjanjian Malaysia-AS sarat agenda penjajahan ekonomi, gesa kerajaaan kaji semula

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat (AS) mengandungi mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang.

Bekas Perdana Menteri berkata, ia juga sarat dengan pelbagai agenda penjajahan ekonomi yang mengancam kemerdekaan serta kedaulatan Malaysia.

Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Pagoh:

Sesuatu perjanjian antara negara kecil dan membangun, dengan negara maju atau superpower, memang lazimnya bercorak asimetri atau tidak seimbang. Tetapi, corak perjanjian yang tidak seimbang ini tidak boleh disalahgunakan hingga mengancam kemerdekaan serta kedaulatan negara kecil dan membangun yang berkenaan.

Berlandaskan hujah ini, saya amat bimbang terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) yang dimeterai sempena Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini, dan diumumkan oleh White House di Washington D.C., Amerika Syarikat (AS), pada 26 Oktober 2025.

Pentadbiran Presiden Donald Trump menyifatkan perjanjian ini sebagai satu pencapaian diplomasi “dua hala yang saling menguntungkan.” Kesimpulan ini sangat meleset, amat tidak tepat, dan terlalu mengelirukan.

Hakikatnya, perjanjian ini mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang. Ia juga sarat dengan pelbagai agenda penjajahan ekonomi yang mengancam kemerdekaan serta kedaulatan Malaysia.

Seluruh agenda tersembunyi AS ini terkandung dalam artikel atau peruntukan berikut:

Pertama, Artikel 3.4 dan lain-lain. Peruntukan ini melarang Malaysia mengenakan syarat pemindahan teknologi sebagai kaedah untuk menarik pelaburan AS. Ia juga mewajibkan Malaysia menerima standard atau piawaian AS untuk produk berkaitan farmaseutikal, makanan dan media. Peruntukan ini menghakis kedaulatan teknikal dan regulasi Malaysia.

Kedua, Artikel 5.1. Peruntukan ini menegaskan, jika AS mengenakan tarif, larangan import, sekatan atau langkah lain terhadap negara ketiga atas alasan keselamatan ekonomi atau keselamatan nasionalnya, Malaysia juga hendaklah melakukan tindakan yang sama.

Peruntukan ini jelas memaksa Malaysia supaya akur dengan tindakan sekatan yang dilakukan oleh AS, walaupun kepentingan Malaysia adalah berbeza.

Ketiga, Artikel 5.2. Peruntukan ini menyatakan, Malaysia hendaklah mematuhi seluruh kawalan eksport ke atas negara ketiga yang dikenakan oleh AS secara unilateral. Malaysia juga hendaklah bekerjasama dalam hal transaksi perdagangan dengan lain-lain entiti yang disenaraikan oleh AS. Peruntukan ini menunjukkan, Perjanjian ART 2025 menyebabkan Malaysia kehilangan kuasa penuh atau autonominya dalam mengawal dasar negaranya sendiri.

Keempat, Artikel 5.3 (Annex III). Peruntukan ini memberikan akses langsung kepada AS terhadap data kastam dan urusan kastam Malaysia. Sekali lagi, ini bermakna, kedaulatan data dan kawalan ekonomi nasional Malaysia kini turut dikuasai oleh AS.

Kelima, Artikel 6.1.3 (Annex IV). Peruntukan ini menuntut komitmen Malaysia untuk memudahkan pelaburan sebanyak US$70 bilion di AS dalam tempoh 10 tahun.

Ia juga menuntut pembelian oleh syarikat Malaysia bernilai US$150 bilion dalam 5 tahun ke hadapan. Pembelian ini melibatkan semikonduktor, peralatan pusat data dan aeroangkasa. Komitmen di atas, yang melibatkan pengaliran keluar modal Malaysia ke AS, adalah satu bentuk pemindahan kekayaan yang berat sebelah.

Keenam, Artikel 6.2 (Annex III). Peruntukan ini melarang Malaysia untuk mengenakan kuota atau sekatan eksport ke atas sumber strategik seperti nadir bumi (REE) ke AS. Ia juga menjadikan kewajipan Malaysia untuk mendorong pembekalan nadir bumi berdasarkan terma yang menguntungkan AS.

Peruntukan ini menunjukkan, ART 2025 menyebabkan Malaysia menyerahkan sebahagian kuasanya untuk mengawal sumber strategik miliknya, selaras dengan syarat yang memihak kepada AS. Ini adalah satu bentuk penghapusan terhadap autonomi dasar Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Oleh itu, adalah jelas bahawa Perjanjian ART 2025 ini menjejaskan keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan nasional serta kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.

Lebih serius lagi, perjanjian ini dijangka akan mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara proksi atau negara satelit kepada AS di Asia Tenggara.

Ini menunjukkan, Perjanjian ART 2025 adalah satu perjanjian yang menggadaikan kedaulatan Malaysia kepada AS; perjanjian yang mengkhianati dasar luar Malaysia yang berkecuali; dan perjanjian yang menodai corak interdependensi atau kebergantungan perdagangan dua hala Malaysia–AS yang sepatutnya bebas daripada sebarang kongkongan kuasa asing.

Saya amat kesal dengan seluruh kesan mudarat yang wujud daripada Perjanjian ART 2025 seperti di atas. Hakikat ini sedang dianalisis secara meluas dan menyeluruh oleh pakar-pakar tempatan, serantau dan antarabangsa. Ini menggambarkan bahawa kesan kepada Perjanjian ART 2025 ini adalah amat berbahaya kepada kelangsungan Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat.

Oleh itu, saya mendesak Kerajaan Malaysia mengkaji semula perjanjian tersebut secara menyeluruh. Kajian semula ini perlu dilaksanakan di pelbagai peringkat dan melibatkan seluruh pemegang taruh kemerdekaan serta kedaulatan negara.

Seluruh kandungan Perjanjian ART 2025, baik yang melibatkan logam kritikal dan strategik milik Malaysia seperti nadir bumi, yang membabitkan pengimportan LNG dari AS bernilai sekitar US$3.4 bilion setahun, serta lain-lainnya, mesti diperjelaskan kepada seluruh pemegang taruh di Malaysia, termasuk Ahli Parlimen.

Sesi libat urus dengan seluruh pemegang taruh mengenai Perjanjian ART 2025 ini mesti diadakan dengan tersusun dan segera. Tujuannya, supaya perjanjian ini bersifat adil; tidak menindas; dan tidak menjadi batu loncatan kepada niat AS untuk melaksanakan penjajahan cara baharu menerusi perdagangan dua halanya dengan Malaysia; dan supaya Malaysia tidak akan sekali-kali menjadi negara proksi, negara satelit, apatah lagi negara boneka kepada AS di hari-hari mendatang.

Rakyat Malaysia wajar sama-sama mendesak pelaksanaan kajian semula terhadap Perjanjian ART 2025 di atas. Kita perlu ingat dan insaf bahawa Malaysia adalah negara yang amat strategik di Asia Tenggara.

 Ini kerana lokasi geografinya yang strategik kepada geopolitik kuasa-kuasa besar; ini kerana Selat Melaka yang strategik kepada perdagangan antarabangsa; ini disebabkan rizab REE Malaysia yang berkualiti tinggi dan penting kepada pembuatan persenjataan canggih serta produk berteknologi tinggi; dan kerana rizab minyak dan gas Malaysia yang besar jumlahnya, yang terdapat di Laut China Selatan serta Laut Sulawesi.

Saya mendesak Kerajaan Malaysia melaksanakan kajian semula ke atas Perjanjian ART 2025 ini dengan secepat mungkin, sebelum tamat tempoh moratoriumnya selama enam bulan, mulai minggu lalu.


 

UNDILAH

[socialpoll id=”2974793″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img