OLEH SHAHBUDIN EMBUN
SEMASA idea ini mula didengar ada pihak yang seperti tidak yakin ia boleh dilakukan. Namun hasil daripada inisiatif dan usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah berjaya menghimpunkan lapan parti politik termasuk UMNO, Pas, PKR dan Amanah di WTC Kuala Lumpur. Hal ini boleh dilihat dari sudut positif sebagai satu perkembangan yang menarik dalam evolusi politik Malaysia.
Walaupun parti-parti ini datang daripada blok politik yang berbeza, kesediaan mereka untuk duduk semeja membincangkan isu berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera menunjukkan kematangan politik yang semakin berkembang dalam kalangan elit politik negara.
Secara positif, musyawarah ini mencerminkan kesediaan para pemimpin parti untuk berbincang secara terbuka mengenai isu kepentingan bersama. Selain itu, musyawarah ini tidak menetapkan sebarang syarat dan ini menunjukkan keikhlasan pada setiap pihak yang menyertainya.
Adakah ini juga menunjukkan bahawa politik Malaysia sedang bergerak ke arah budaya konsensus dan perundingan, bukannya semata-mata persaingan kuasa?

Jika kita teliti, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, landskap politik Malaysia sering dicirikan oleh pembahagian yang tajam antara kerajaan dan pembangkang. Pertemuan yang menghimpunkan parti-parti daripada kedua-dua blok berpotensi meredakan ketegangan politik dan mengurangkan polarisasi.
Apabila isu sensitif seperti kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera dibincangkan secara bersama, ia membuka ruang kepada pendekatan yang lebih tersusun dan kurang retorik politik.
Satu lagi perkara positif hasil daripada musyawarah ini ialah penubuhan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera yang mana boleh menjadi satu mekanisme institusi yang penting.
Platform ini akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera
Sekiranya sekretariat ini berfungsi secara konsisten, ia berpotensi menjadi platform tetap untuk menyelaraskan pendirian dalam isu sensitif serta mampu mengelakkan eksploitasi politik terhadap isu agama dan kaum. Dan, apa yang mungkin lebih penting ialah dapat membina persefahaman antara parti yang berbeza ideologi.
Dalam sejarah politik negara, perubahan besar dalam pakatan politik sering bermula dengan dialog tidak formal seperti ini. Walaupun belum tentu membawa kepada kerjasama politik yang konkrit, musyawarah tersebut sekurang-kurangnya membuka ruang kepada penjajaran semula politik yang lebih dinamik menjelang pilihan raya akan datang.
Perbincangan mengenai gagasan Rumah Bangsa menunjukkan usaha untuk mencari kerangka politik yang lebih inklusif bagi masyarakat Melayu dan Bumiputera tanpa menafikan realiti masyarakat majmuk Malaysia.
Jika digarap secara konstruktif, idea ini boleh menyumbang kepada pembinaan naratif politik yang lebih menyatukan berbanding memecahbelahkan.
Secara keseluruhannya, pertemuan ini boleh dilihat sebagai satu langkah positif ke arah politik yang lebih matang. Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kesan jangka panjangnya, musyawarah seperti ini memberi isyarat bahawa kepimpinan politik Malaysia mula menyedari keperluan untuk bekerjasama dalam isu-isu strategik yang menyentuh asas pembinaan negara.
*Penulis adalah merangkap Pengerusi Biro Kepimpinan & Pentadbiran Kerajaan Majlis Perundingan Melayu (MPM)


