TIGA maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan dua buah lori di Jalan Senai-Seelong di Kulai, Johor petang semalam.
Kemalangan berlaku pada jam 4.15 petang apabila kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kereta terbabit membawa tiga penumpang wanita berusia antara 65 hingga 87 tahun manakala lori dipandu lelaki berusia 46 tahun.
“Berikutan pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabit dikatakan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi lori yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun.
“Pemandu lori berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi pemandu lori dan seorang penumpang kereta meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini, lapor Berita Harian.
Menurut Seng Lee, pemandu serta dua lagi penumpang kereta dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menerima rawatan.
Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung nahas itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-757 3507 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.


