SEORANG lagi mangsa yang terbabit dalam nahas empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia, hari ini.
Mangsa, Mohd Hafizi Anuar, 48, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi di Hospital Kajang ketika menerima rawatan.
Adik mangsa, Mohd Haswad Anuar, 42, berkata, abangnya sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang selepas kejadian itu.
“Saya sahkan abang saya sudah meninggal dunia selepas menerima rawatan.
“Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda, Klang,” katanya ketika dihubungi, hari ini, memetik laporan Harian Metro Online.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mengesahkan berhubung kejadian itu.
“Mangsa berusia 48 tahun adalah orang awam yang disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi, hari ini.
“Jenazah mangsa akan diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat dijalankan,” katanya.
Mohd Hafizi yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam, adalah penumpang dalam pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail.
Ketika kejadian, Mohd Hafizi dan seorang lagi kakitangan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR baru sahaja selesai tugasan di Penjara Kajang dan dalam perjalanan pulang ke pejabat di Shah Alam.
Dalam kejadian itu, seorang bayi maut, manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang selepas dirempuh sebuah lori di kawasan berkenaan.


