DATUK Seri Najib Tun Razak akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada Isnin depan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas beliau.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM11.4 bilion atau dipenjara 40 tahun jika gagal membayarnya, manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dijatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan, namun tiada sebarang denda dikenakan.
Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 72 tahun itu, hanya akan menjalani hukuman penjara 15 tahun, kerana hakim memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalankan secara serentak.
Hakim juga memutuskan bahawa hukuman itu hanya akan berkuat kuasa selepas Najib menamatkan tempoh penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkan penyalahgunaan RM42 juta, yang akan berakhir pada 23 Ogos 2028.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan walaupun pihak pembelaan amat kecewa kerana ia telah dijangkakan sejak awal perbicaraan.
“Seperti yang kami jangkakan, keputusan sama ada Najib akan didapati bersalah itu memang menjadi kenyataan. Walaupun kami amat kecewa, kami tidak terkejut kerana telah menjangkakannya dari awal,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, kekecewaan itu bagaimanapun telah meningkatkan keazaman pihak pembelaan untuk membuat persiapan lebih rapi dalam proses rayuan yang akan difailkan pada Isnin depan.
“Walaupun kami kecewa, kami sebenarnya lebih bersemangat untuk melakukan yang lebih baik dalam rayuan kerana pada hari Isnin (29 Disember) kami akan memfailkan rayuan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kes berkenaan merupakan pengalaman paling luar biasa sepanjang hampir 50 tahun penglibatannya dalam bidang perundangan apabila pihak pembelaan tewas dalam setiap isu yang dibangkitkan.
“Ini adalah kes pertama dalam 50 tahun pengalaman saya sebagai peguam di mana saya kalah dalam setiap perkara. Tidak ada satu pun walaupun kecil yang saya menangi. Tiada. Sifar,” katanya.
Beliau mengibaratkan keputusan itu sebagai kemenangan mutlak pihak pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.
“Jika diibaratkan dalam bola sepak, pihak pendakwaan menjaringkan 100 gol manakala kami sifar. Ia merupakan keputusan sempurna untuk pihak pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak pembelaan tetap menantikan peluang untuk berhujah di Mahkamah Rayuan dan yakin kes tersebut akan dinilai semula secara adil dan menyeluruh di peringkat berkenaan.
Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.


