Nasib Melayu bandar, ada UDA dimansuhkan…

Apabila Lembaga Pembangunan Bandar (Urban Development Authority, UDA) dimansuhkan dalam tahun 1996, berkuburlah sebuah institusi eksekutif Kerajaan Persekutuan yang sejak awal 1970-an, diamanahkan menjaga kesejahteraan rakyat di bandar.

Bayangkan jika FELDA dibubarkan. Apakah nasib ratusan ribu peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) itu? Begitulah halnya di bandar, bila UDA dibubarkan, nasib jutaan rakyat bermastautin di bandar, ibarat melukut di tepi gantang.

Rakyat Malaysia kini seramai 34 juta orang dengan hampir 80% berada di bandar. Perangkaan DOSM menyatakan, sekitar 70.4%  daripada 34 juta itu adalah bumiputera. Sepintas lalu kita boleh mencongak bahawa majoriti penduduk yang bermastautin di bandar adalah bumiputera. Juga, kita boleh mengira berapa ramai bumiputera ini tergolong dalam kelas B40.

Tiada satu institusi eksekutif utama khusus bertanggungjawab menjaga kesejahteraan mereka di bandar. Sejak era UDA dimansuhkan, kian ramai rakyat di bandar kembali terperangkap ke dalam putaran ganas kemiskinan.

Laporan UNICEF (10 Nov 2018 berjudul ‘Children Without’ yang melaporkan kajian berkaitan kemiskinan  dan kekurangan atau kedaifan di Kuala Lumpur), adalah manifestasi kepada malapetaka itu.

Tiba-tiba kerajaan beria-ia nak tampilkan pemaju untuk mengambil teraju pembangunan dari ‘kekosongan’ yang ditinggalkan oleh UDA.

Alkisah, bermulalah agenda baharu pembangunan semula bandar. Di Kuala Lumpur saja, hampir 140 kawasan yang memenuhi kehendak pemaju dikenalpasti, termasuk tanah-tanah milik pelbagai institusi kerajaan dan perumahan rakyat.

Yang tersurat nampak indah. Keutamaannya ialah pembangunan fizikal, yang tidak membuatkan penduduk yang terkesan dengan agenda pembangunan itu merasa teruja, sebaliknya cemas.

Di Kampung Abdullah Hukum misalnya, jika pun ada penentangan daripada penduduk asal, suara mereka tidak didengari. Akhirnya, kampung itu sekadar tinggal nama di stesen LRT. Secara fizikalnya kampung itu sudah tiada. Malah, tiada satu pun tapak warisan sebagai peninggalan sejarah.

Begitu juga dengan Kampung Kerinchi. Namanya pun tidak mahu dikaitkan oleh pemaju, konon alasannya nama Kampung Kerinchi  tiada nilai komersial.

Entah berapa ramai agaknya penduduk asal Kampung Abdullah Hukum atau Kampung Kerinchi  diberi keutamaan dan mampu memiliki aset ekonomi bertaraf lima bintang yang dibangunkan di atas tanah yang suatu ketika dulu mereka miliki?

Salah siapa tragedi ini terjadi? Adakah kerana kerajaan terlalu gelojoh, hendakkan pembangunan fizikal, setanding negara jiran, yang pembangunannya dalam kalangan lima terbaik dunia?

Dulu, model pembangunan yang diutamakan Allahyarhan Tun Abdul Razak Hussein terbukti kejayaannya. Namun, ada sesetengah pemimpin semasa mencemuhnya sebagai dasar yang konon katanya mengutamakan ras. Anehnya, pemimpin yang mempertikaikan dasar itu hingga kini masih terpinga-pinga dan terkial-kial mencari resipi lebih baik.

Bagi merungkai isu kemiskinan ketika itu, Tun Abdul Razak, menanganinya, bermula dengan meningkatkan tahap pendidikan atau latihan di segenap lapisan. Hasilnya ialah mobiliti sosial menaik, yang dapat dicapai dalam tempoh kurang dari 20 tahun pelaksanaannya.

Presiden Korea Selatan, Park Chung Hi juga mengambil pendekatan yang sama. Beliau memperkukuhkan inisiatifnya dengan beberapa inisiatif bersepadu, dengan pendidikan serta pembangunan teknologi sebagai pemacu utama pembangunan negaranya.

Didorongnya lagi untuk rakyatnya membina semangat gotong-royong, semangat Sameul-Undung. Dirangsang juga rakyatnya meniru budaya Jepun seraya membina jati diri bangsanya dengan The Hwarang Spirit,  seterusnya mencabar rakyatnya bangkit menjadi bangsa yang hebat dan bermaruah, mampu menandingi kehebatan masyarakat Jepun yang lebih 30 tahun pernah menaklukinya.

Tak cukup dengan itu diwajibkan semua anak lelaki mengikuti perkhidmatan nasional selama hampir dua tahun, untuk membina kekentalan fizikal dan minda. Pada pemikiran Park Chung Hi, negaranya tidak kaya dengan sumber asli, seperti Malaysia. Hanya kekayaan sumber insan sajalah yang negaranya ada, pada ketika itu.

Berbalik kepada permasalahan kita di kebanyakan bandar, terutama Kuala Lumpur, kenapalah pembangunan fizikal yang beria-ia hendak diutamakan dalam penggubalan RUU URA? Mengapa tidak didalami hasil kajian UNICEF itu dan diselesaikan segera permasalahan yang dihadapi warga miskin bandar?

Baiklah, izinkan saya mengulangi cara saya berfikir ala mat jenin. Saya lontarkan persoalan berikut,  sekadar untuk dibaca oleh para perancang yang bijaksana.

Pertama, mengapa tidak dibina budaya gotong-royong sesama mereka yang semakin miskin itu untuk sama-sama mengambil tahu hal ehwal kejiranan?

Kedua, kenapa kerajaan lambat sangat merancang beberapa program berimpak tinggi bagi mengutamakan usaha meningkatkan kemahiran kerja warga kota? Atau kemahiran niaga mereka?

Misalnya, kenapa tidak dimodenkan dengan kadar segera kesemua pasar malam yang menjadi nadi ekonomi ratusan ribu warga bandar? Jika kerajaan merancang membangunkan begitu banyak ‘smart cities’, susah sangatkah nak diislahkan ribuan pasar malam yang sebegitu sifatnya, sejak puluhan tahun yang lalu, menjadi ‘pasar malam pintar’?

Ketiga, kenapa tidak dihambat tindakan diskriminasi kebanyakan syarikat swasta, yang masih enggan mengambil mereka yang miskin ini untuk dilatih secukupnya bagi memperbaiki nasib mereka menerusi latihan kemahiran sesuai dengan pekerjaan yang dikehendaki industri berteknologi tinggi?

Keempat, susah sangatkah untuk ditubuhkan semula UDA sekalipun atas jenama lain?

Kerajaan terlalu mengalah dengan persatuan pengilang misalnya, yang mencari jalan mudah mengambil pekerja asing yang kini membanjiri kebanyakan bandar utama di negara ini.

Sebagai mat jenin, saya merayu institusi eksekutif janganlah terlalu kiasu untuk memperakui kelemahan dan seterusnya memperbaikinya.

Saya merayu institusi politik pula janganlah mengambil kesempatan daripada kelekaan institusi eksekutif itu untuk mempergunakan mereka bagi merealisasikan hasrat yang tersirat.

Aduhai negaraku Malaysia, janganlah hendaknya maruah dan kedaulatannya tergadai. Wahai anak bangsa sekalian, sebagai pemegang amanah bangsa,  carilah dan bacalah hansard Parlimen British pada 10 November 1948, yang membahaskan nasib Malaya, yang kini nampaknya mula menjadi realiti.

*Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

 

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4496″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img