Noh Omar kecewa dengan Lembaga Disiplin, lepaskan jawatan ahli MPT Bersatu serta-merta

TAN Sri Noh Omar hari ini melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa terhadap Lembaga Disiplin yang didakwa tidak menghormati keputusan majlis itu.

Beliau berkata, mesyuarat MPT pada 12 Januari lalu memutuskan semua tindakan disiplin terhadap ahli Bersatu ditangguhkan, tetapi Lembaga Disiplin tetap meneruskan proses disiplin terhadap beberapa ahli dan pemimpinnya.

“Persoalannya, adakah Lembaga Disiplin tidak menghormati keputusan MPT?, Yang mana lebih berkuasa, Lembaga Disiplin atau MPT?.

“Apa guna MPT sebagai badan tertinggi bermesyuarat jika keputusan tidak dihormati?” soalnya dalam satu video kepada FMT hari ini.

Noh mengucapkan terima kasih kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai ahli MPT, tetapi menegaskan tiada maknanya memegang jawatan itu jika keputusan MPT tidak dihormati.

Noh dilantik menganggotai MPT Bersatu pada 18 Januari 2025.

Peletakan jawatan Noh menyusul selepas pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang juga Timbalan Presiden dan Ketua Pembangkang di Parlimen, di tengah-tengah kemelut kepimpinan Bersatu.

Dalam pada itu, Noh berkata, MPT menubuhkan Jawatankuasa Pengukuhan Parti dipengerusikan Tan Sri Dr Rais Yatim, yang turut dianggotainya.

Katanya, jawatankuasa itu bermesyuarat tiga kali bagi merangka pelan mengembalikan perpaduan dalam parti, namun usaha itu terjejas dengan tindakan disiplin terhadap ahli.

Tegasnya, tindakan disiplin sepatutnya hanya dikenakan terhadap ahli melanggar keputusan MPT selepas 12 Januari lalu, bukannya kenyataan yang dibuat sebelum tarikh itu.

“Saya berpegang kepada prinsip tiada siapa berada di atas undang-undang. Semua parti ada hak ambil tindakan disiplin, tetapi mesti ikut peraturan dan Perlembagaan parti.”

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img